Jumaat, 17 Jun 2011

Anak mahu suruhanjaya bebas siasat Felda

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan kewangan Felda yang didakwa mengalami kerugian teruk.

Ia juga ekoran pinjaman sebanyak RM6 bilion yang dibuat Felda daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa Anak sebelum ini.

Dakwaan itu kemudiaannya diakui sendiri oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan sewaktu menjawab soalan ahli parlimen Permatang pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, jawapan Ahmad bahawa sebahagian wang tersebut digunakan untuk tanam semula adalah sangat meragukan.

"Pengakuan Datuk Ahmad Maslan bahawa Felda buat pinjaman daripada KWSP mengesahkan dakwaan saya sebelum ini dan apa penjelasan beliau tentang jumlah RM6 bilion itu?

"Saya sangat ragu bila beliau kata sebahagian wang digunakan untuk tanam semula kerana jumlahnya begitu besar.

"Kalau beginilah amalan Felda yang sangat tidak telus saya fikir bukan satu yang mustahil zaman BN ini Felda akan jadi bankrap," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan turut menyifatkan kenyataan Ahmad bahawa Felda akan bankrap jika Pakatan Rakyat memansuhkan Felda Plantation seperti yang terkandung dalam Buku Jingg sebagai tidak masuk akal.

sebaliknya kata beliau, seramai 80 ribu anak peneroka akan mendapat faedah daripada program pemberian tanah itu dan kakitangan Felda tidak akan diberhentikan sebaliknya khidmat mereka akan terus digunakan untuk memajukan tanah generasi kedua dan ketiga.

"Apa justifikasi beliau berkata demikian sebab seharusnya beliau melihat perspektif jauh lebih besar.

"Bila Pakatan Rakyat berikan tanah kepada generasi kedua dan ketiga 10 ekar setiap pemilik, ia akan beri manfaat kepada 80 ribu anak peneroka dan itu akan mengangkat ekonomi mereka dan sebagai jaminan masa depan.

"Kalau beliau kata 23 ribu kakitangan Felda dan 60 ribu peneroka hilang pendapatan jika Felda Plantation, bukan bermakna kakitangan Felda diberhentikan kerja tapi mereka akan diserap masuk untuk kendalikan tanah yang diberikan kepada generasi kedua kerana tenaga mereka masih diperlukan untuk memberi tunjuk ajar kepada peneroka baru.

Tambahnya, 43 anak syaraikat Felda sudah tentu mampu membayar gaji kepada kakitangan Felda.

Memorandum kepada Yang Dipertuan Agong

Selain itu, Anak juga sedang mengumpul semua bukti yang ada berkaitan kegagalan Felda dan dmasukkan ke dalam memorandum untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

"Kita akan nyatakan bagaimana perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang mengasaskan Felda dan hari ini Felda telah dicemari dengan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan salah guna kuasa.

"Kita akan masukkan isu-isu Felda yang terkini dan kita akan kumpulkan dan hantar kepada Yang Dipertuan Agong supaya Tuanku campur tangan," katanya.

Peneroka Jengka saman Felda

Sementara itu, seramai 711 peneroka tanah rancangan Jengka, Pahang memfailkan saman RM344 juta berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui Tetuan Daim & Gamany pagi tadi, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Saman itu berhubung penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.

Peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus.

Mereka sepatutnya memperoleh KPG yang lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus.

Tiada ulasan: