Khamis, 16 Disember 2010

Tragedi Beng Hock: Pemimpin BN mungkir janji


malaysians 4 beng hock pc 15122010 teoh lee lianOleh K Pragalath

PETALING JAYA: Teoh Lee Lan, adik mendiang Teoh Beng Hock hari ini membidas para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mungkir janji bagi menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kematiannya.

Mereka memberitahu kami bahawa mereka akan menyokong usaha ke arah pembentukan sebuah Suruhanjaya (Siasatan Diraja).

Mengapa mereka tidak kotakan janji itu?," soal Lee Lan dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.

Para pemimpin BN yang beliau maksudkan ialah Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon; bekas presiden MCA Ong Tee Keat, Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Chan Onn.

Perdana Menteri Najib Tun Razak juga mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk menyiasat kaedah penyiasatan yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyoal saksi.

Lee Lan menegaskan bahawa keluarganya hanya mahu tahu kebenaran di sebalik punca kematian abangnya.

Beliau juga menggesa para pemimpin parti politik untuk menghadiri inkues pada hari Jumaat ini supaya dapat melihat sendiri kaedah prosiding dijalankan.

“Saya menghadiri semua inkues yang berlangsung selama lima bulan ini sebagai salah seorang daripada anggota keluarga. Sekiranya inkues bertujuan untuk mencari kebenaran, saya tidak akan berada di sini. Inkues sekarang tidah berkisar ke arah usaha mencari kebenaran.

“Luangkan masa sehari untuk hadir inkues itu dan anda akan tahu mengapa kami mahu Surahanjaya Diraja untuk menyiasat kematian abang saya,” kata Lee Lan sambil menahan sebak.

Kumpul 100,000 tandatangan

Malaysians 4Beng Hock pc 15122010Sementara itu, Gerakan Rakyat Malaysia untuk Teoh Beng Hock berikrar untuk mengumpul 100,000 tandatangan bagi petisyen mendesak kerajaan pusat membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kes kematiannya.

Penyelaras gerakan itu Ng Yap Hwa, berkata setakat ini pihaknya telah berjaya memperolehi sebanyak 33,376 tandatangan dari Kumpulan Keadilan Kuala Lumpur dan Selangor sehingga pagi tadi.

"Setelah jumlah tersebut diperoleh ia akan diserahkan kepada (Perdana Menteri) Najib Tun Razak untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang media yang sama.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Keadilan Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Khai Loon yang turut hadir pada sidang media itu berkata,

"Kumpulan kami telah memulakan usaha tersebut sejak bulan Julai 2009 tetapi tidak menyerahkan tandatangan tersebut sebelum ini sebagai menghormati prosiding inkues.

“Bagaimanapun, setelah lebih setahun, kita tidak berpuas hati mengenai proses inkues yang berlangsung. Justeru itu kami telah menghidupkan kembali kempen ini pada bulan lepas,” kata Lee yang juga seorang anggota PKR.

Dalam bulan Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di Tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiada ulasan: