Ahad, 26 Disember 2010

Tenang: Calon PAS anak tempatan saya bukan orangnya, kata Mazlan

KUALA LUMPUR — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Mazlan Aliman berkata, parti itu akan memilih anak tempatan sebagai calonnya mewakili Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang akan diadakan akhir bulan depan.

Oleh itu, Mazlan yang juga Ketua Penerangan PAS Johor meminta pihak supaya menghentikan spekulasi bahawa beliau akan dipilih untuk memikul cabaran itu.

“Ingin saya tegaskan bahawa keutamaan kita adalah anak tempatan dan kita tidak kekurangan anak tempatan di Labis.

“Seperti biasa kita akan terima senarai nama dari peringkat cawangan untuk diangkat kepada negeri kemudian dibawa ke pusat untuk dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Mazlan, mengenai soal calon adalah lebih baik sekiranya ia diserahkan kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk membuat keputusan muktamad.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berkata walaupun DUN Tenang mempunyai kawasan Felda tidak semestinya beliau akan terpilih kerana masih ramai calon anak tempatan yang berwibawa di kawasan itu.

“Saya asal Batu Pahat, saya bukan anak tempatan, kita punyai ramai anak tempatan yang berwibawa di sana (Labis).

“Tidak semestinya apabila ada Felda, saya akan terpilih. Kita ada anak tempatan yang lebih berwibawa.

“Jadi mengenai soal calon kita serah kepada pusat sahaja untuk buat keputusan. Yang lain-lain saya tidak mahu komen,” katanya.

Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa Mazlan akan terpilih menjadi calon PAS mewakili Pakatan Rakyat yang akan menentang calon Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu.

Kelmarin, Yang Dipertua PAS Labis, Mohd Salleh Abdullah berkata pihaknya akan mengemukakan empat nama kepada PAS Johor sebelum dibawa ke pusat untuk memilih calon yang layak untuk mewakili Pakatan Rakyat.

The Malaysian Insider difahamkan nama Mazlan turut tersenarai untuk menjadi calon.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama sejak 1989.

DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis yang berjirankan kerusi Parlimen Pagoh yang bersempadankan kawasan Parlimen Pagoh di sebelah barat, Parlimen Sekijang di utara dan negeri Pahang di sebelah timur.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Kawasan itu mempunyai tiga felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,000 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07 peratus).

Tiada ulasan: