Sabtu, 18 Disember 2010

Kes denggi terus meningkat, 133 kematian tahun ini

BERNAMA

PAPAR: Jumlah kes denggi di Malaysia tahun ini meningkat daripada 39,597 kes dan 84 kematian pada 2009 kepada 45,037 dan 133 kematian sehingga 17 Disember, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 15,964 kes dan 44 kematian, diikuti Johor 4,299 kes dan 12 kematian, dan Sarawak dengan 4,174 kes dan 14 kematian.
Katanya, Sabah pula berada dalam tahap sederhana dengan 2,063 kes dan tiga kematian setakat ini.

"Tetapi ia tidak bermakna kita harus leka dan tidak prihatin untuk melakukan pencegahan," atanya selepas melancarkan Karnival Mesra anjuran Hospital Daerah Papar dekat sini.

Lima kawasan di Sabah masih dianggap kawasan aktif denggi iaitu Kampung Pasir Putih dan Kampung Jawa di Tawau, Taman Wira Jaya dan Kampung Limbungan di Tuaran dan Kampung Lipong di Beluran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penyakit kardiovaskular adalah antara penyebab utama kemasukkan di hospital kerajaan pada 2009, menyumbang 6.9 peratus daripada keseluruhan punca kemasukkan ke hospital.

Daripada segi kematian akibat penyakit, katanya, penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian dengan 16.1 peratus, diikuti septisemia 13.8 peratus dan kanser 10.9 peratus.
"Pada 2008, beliau berkata didapati 47 peratus kematian di hospital kerajaan adalah akibat sakit jantung dan serangan angin ahmar membabitkan golongan yang masih produktif," katanya.

Sehubungan itu, Rosnah mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan mereka dengan mengambil pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup sihat.

Tiada ulasan: