SUNGAI BESAR – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akur dengan keputusan kepimpinan UMNO pusat yang menggantung jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sehingga kes pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, selesai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, beliau menerima surat penggantungan itu pada 8 Disember lalu dan menyifatkannya sebagai prosedur biasa.
Menurutnya, keadaan tidak berubah hanya kepimpinan UMNO Bahagian itu kini diterajui Timbalannya, Datuk Ramli Norani.
“Program akan diteruskan seperti biasa dan saya akan terus memberikan kerjasama serta berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Beliau semalam secara rasmi menyerahkan tugas Ketua UMNO bahagian Sungai Besar kepada Ramli.
Pengumuman itu dibuat dihadapan pimpinan dan jawatankuasa empat peringkat UMNO bahagian Sungai Besar yang hadir di Dewan Simpang Lima sempena perjumpaan UMNO bahagian berkenaan di sini.
Dr Mohamad Khir berkata, pemilihan timbalannya sebagai pemangku jawatan berkenaan bertepatan bagi meneruskan gerakan program antara UMNO bersama parti komponen lain di kawasan DUN Sekinchan.
“Rakyat di DUN Sungai Panjang tidak perlu bimbang kerana saya akan tetap meneruskan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat di sana, apa yang penting, keazaman Barisan Nasional (BN) untuk merampas Sekinchan perlu diteruskan.
“Saya cukup yakin beliau (Datuk Ramli) mampu meneruskan kesinambungan aktiviti yang dirancang sebelum ini, jawatan bukan satu masalah kerana perpaduan itu lebih penting dan walaupun saya bukan lagi ketua bahagian, dengan sokongan barisan kepimpinan UMNO di semua peringkat yang tetap teguh bersatu, saya yakin kita dapat memulangkan kembali kerusi Sekinchan kepada BN,” katanya.
Ramli,63, sebelum ini menjawat jawatan sebagai Bendahari UMNO bahagian Sungai Besar selama lima tahun bermula 2004 sebelum menang dalam pemilihan 2008 untuk kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.
Dr Mohamad Khir menyifatkan keputusan pimpinan BN memilih Pemangku Ketua UMNO bahagian itu dari kalangan ‘orang dalam’ adalah tepat.
“Timbalan ada, jadi tidak perlu kita babitkan orang luar kerana kita tidak mahu wujud pula perpecahan antara ahli,” katanya.
Bagi Ramli, ia merupakan satu tanggungjawab besar untuk membuktikan kepada kepimpinan tinggi BN bahawa kerjasama erat di semua peringkat bahagian itu terus kukuh bagi menjamin calon BN dapat dikekalkan semula pada pilihan raya akan datang
Menurutnya, kerjasama semua pihak yang telah di susun rapi antara UMNO dan parti kompenan seperti MCA, MIC, IPF dan Gerakan sebelum ini akan terus ditingkatkan bagi mengukuhkan lagi BN di Sungai Besar.
“Saya ni nampak sahaja garang dan kasar, tetapi sebenarnya tidak, seperti harimau dan singa yang sifatnya garang tetapi masih boleh dijadikan kawan pada pertunjukan pentas, begitu juga dengan saya, boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja,” katanya dengan berseloroh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan