Isnin, 13 Disember 2010

Isu kesihatan di Sarawak perlu diberi keutamaan

taib11Oleh Dhia Daniel

KUCHING: Satu langkah proaktif harus diwujudkan segera oleh kerajaan pusat di negeri ini bagi menangani isu perkhidmatan kesihatan, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut beliau dalam kebanyakan situasi, ada sesetengah program yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan tidak dapat dilaksanakan dengan mudah di Sarawak ekoran ia terlalu unik berbanding negeri-negeri lain.

" Kita lihat sahaja program 1 Hospital di setiap daerah contohnya. Bagi Sarawak yang cukup luas dan tidak tentu keadaan geografinya saya takut ia tidak dapat dilaksanakan.

"Tambahan pula bukan mudah untuk mendapatkan khidmat doktor sekarang. Hampir setiap negara berdepan dengan kekurangannya.

Oleh sebab itu saya sarankan perlu ada langkah bijak (daripada kerajaan pusat) untuk memastikan kita dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak terutama di luar bandar," katanya dalam majlis ulang tahun ke-100 perkhidmatan Hospital Negeri Sarawak di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Morshidi Ghani dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kesihatan Malaysia Dato Dr. Azmi Shafie.

Taib berkata kadang-kadang setiap keluasan daerah di negeri ini hampir menyamai keluasan sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Justeru itu, ia akan menjadi kekangan terhebat kepada kerajaan pusat sekiranya masih mahu meneruskan program terbabit.

"Untuk masa akan datang, saya rasa kita perlu tahu bahawa Sarawak ini memerlukan layanan berbeza daripada kerajaan pusat. Anda tidak boleh lagi menyamakan ia dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang mungkin mudah dihubungi melalui jalan darat atau mungkin kerana penduduknya dekat-dekat.

Perkhidmatan doktor udara

"Bagi kita di sini, langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah memastikan setiap
perkhidmatan doktor udara dan juga perkhidmatan tele hospital bergerak diperbaiki secepat mungkin bagi memastikan ia kena dengan keadaan muka bumi dan juga kepadatan penduduk di seluruh Sarawak.

"Tetapi untuk melakukannya, kita harus ada tiga atau empat tahap perkhidmatan perubatan dan mereka ini juga harus pandai mengendali masalah dengan cukup efektif.

"Saya yakin bila ada perancangan teliti seperti ini kita mampu menjimatkan masa selain memberi kelebihan kepada rakyat untuk tidak membelanjakan wang yang begitu banyak semata-mata kerana berubat. Tambah lagi kita juga tidak perlu menambah kakitangan perubatan," jelasnya.

Terdahulu, Taib memberitahu sektor perubatan di negeri ini telah berkembang dengan pesat sejak adanya kemudahan-kemudahan moden dan juga pertambahan tenaga kerja professional.

"Saya masih ingat kalau dulu ratio untuk seorang doktor kepada pesakit ialah satu untuk lebih 2,000 pesakit. Namun kini (allhamdullilah) kerana setiap doktor hanya perlu merawat 600 pesakit walaupun kependudukan kita makin bertambah.

"Jadi ini adalah perkembangan yang baik untuk Sarawak," tegasnya sambil berkata dalam masa terdekat rakyat juga akan melihat lebih banyak perubahan dalam sektor itu termasuk pembinaan hospital umum kedua di kawasan Petra Jaya dan juga Institut Jantung Sarawak, di Kota Samarahan.

Tiada ulasan: