Isnin, 13 Disember 2010

Gabus sokong Dr Khir

SINAR HARIAN ONLINE

SABAK BERNAM – Pengundi muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang di sini menubuhkan Gagasan Bertindak DUN Sungai Panjang (Gabus) bagi menyatakan sokongan penuh terhadap UMNO Bahagian Sungai Besar berikutan pendakwaan yang dikenakan ke atas pemimpinnya, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Pengerusi Gabus, Mohd Safar Abdullah berkata, sokongan itu juga sebagai bukti komitmen dan kepercayaan mereka terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu.

Menurutnya, Gabus kini disertai hampir 200 terdiri daripada pengundi muda ditubuhkan khusus untuk menyatakan sokongan padu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.

“Sebagai pengundi kita juga terkesan dengan situasi yang berlaku, kerana itu kita bangkit bagi melancarkan gerakan menyeru pengundi DUN Sungai Panjang dan ahli UMNO khususnya untuk terus menyokong kepimpinan UMNO dan BN Sungai Besar,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perjumpaan Dr Mohamad Khir bersama jawatankuasa empat peringkat di Dewan Simpang Lima di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Gabus turut menyerahkan satu memorandum menyatakan sokongan yang ditandatangani lebih 300 pengundi muda kepada Dr Mohamad Khir.

Mohd Safar berkata, Gabus turut menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba untuk menggugat keharmonian dan perpaduan UMNO bahagian itu.

Tiada ulasan: