Rabu, 10 November 2010

Umno Pulau Pinang lega Gerakan akhirnya pulih komitmen hadapi PRU-13


KUALA LUMPUR — Umno Pulau Pinang lega kerana Gerakan, yang sebelum ini dilihat tidak relevan dan lesu ekoran prestasi terburuk dua tahun lalu, memperbaharui komitmen untuk menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun depan.

Dua bulan lalu, Umno Pulau Pinang menasihatkan Gerakan tidak lagi bertanding di kerusi-kerusi yang ia kalah jika sudah tidak yakin untuk menghadapi perjuangan politik seterusnya.

“Saya merasakan ia satu langkah yang baik, dan kami sangat berharap bahawa kita boleh melihat kembali Gerakan yang lama, Gerakan yang pernah bekerja kuat untuk kepentingan rakyat dan menjadi pemimpin masyarakat,” kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman kepada The Malaysian Insider.

“Akhirnya kita dapat lihat Gerakan yang lebih komited, Umno alu-alukan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, Umno akan membantu Gerakan di kesemua 12 kerusi yang akan ditandinginya kelak.

Zainal Abidin juga berkata, formula pembahagian kerusi semasa, yang diguna pakai dalam dua pilihan raya umum lalu, akan diteruskan pada pilihan raya umum ke-13 melainkan ada pertukaran beberapa kerusi.

Bagaimanapun pertukaran kerusi itu akan diputuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, kata Zainal Abidin.

“Sebelum ini, memang saya pernah mengatakan bahawa Gerakan jika sudah yakin lagi, maka ia harus menyerahkan kerusi mereka kepada sama ada MCA, MIC atau PPP untuk bertanding... nampaknya Gerakan sudah menunjukkan komitmen baru, telah memperbaharui komitmen mereka.

“Jadi, kami di Umno akan turun membantu Gerakan di kerusi-kerusi yang mereka akan tanding nanti,” kata beliau.

Begitu juga jelas Zainal Abidin, Gerakan akan membantu Umno di kerusi-kerusi yang ditandingi parti komponen utama BN itu.

“Umumnya, sepanjang lebih 30 tahun lalu, Gerakan muncul sebagai pemimpin masyarakat Cina, jadi dengan perubahan komitmen ini, kami berharap ia akan kembali kepada peranan asal mereka ini,” kata anggota Majlis Tertinggi Umno ini.

Kata Zainal Abidin, Umno akan turun membantu Gerakan memandangkan di kerusi-kerusi ditandingi Gerakan ada pengundi Melayu dalam jumlah yang besar dan begitu juga di kawasan-kawasan yang ditandingi Umno, ada pengundi Cina dalam jumlah 20 hingga 40 peratus.

“Kerusi-kerusi seperti Machang Bubuk dan Bukit Tengah mempunyai sehingga 40 peratus pengundi Melayu, kerusi yang ditandingi Gerakan, jadi Umno akan membantu Gerakan untuk menawan kembali kerusi-kerusi ditandingi,” katanya lagi.

“Umno akan memberi kerjasama penuh, dan akan memastikan kehadiran (sokongan) kami di kerusi-kerusi ditandingi Gerakan dan yakin menang, Umno akan bekerja keras untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi kemenangan Gerakan di bawah semangat BN,” kata Zainal Abidin.

“Begitu juga dengan kerusi ditandingi MCA, MIC, kami akan susun strategi dan kerjasama,” katanya lagi.

BN Pulau Pinang mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja setiap minggu selain mesyuarat bulanan.

Pada Ahad lalu, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, parti itu akan bertanding di kesemua kerusi yang mereka hilang pada 8 Mac 2008.

Pada pilihan raya umum ke-12, Gerakan kehilangan kesemua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, negeri yang mereka terajui sejak 1969.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider pada pertengahan September lalu, Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi BN Pulau Pinang menasihatkan Gerakan agar menyerahkan kesemua kerusi yang mereka bertanding kepada MCA dan MIC jika merasakan sudah tidak yakin dan telah berputus asas dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Sambil menegaskan pemimpin politik tidak wajar dan tidak sepatutnya berputus asas dalam perjuangan, ketika itu Zainal Abidin berkata, Gerakan perlu memaklumkan komponen perikatan BN dengan “segera” jika merasakan sudah tidak mampu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Gerakan tidak patut dan tidak seharusnya berputus asas dalam meneruskan usaha menawan balik negeri Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras... dan sekiranya tidak boleh, beritahu dengan cepat supaya mereka (MCA dan MIC) boleh mengambil alih peranan (bertanding di kawasan Gerakan),” kata beliau.

“Gerakan perlu menyerahkan kepada MCA dan MIC bertanding di kerusi-kerusi mereka bertanding dua tahun lalu jika sudah tidak yakin lagi,” tegas beliau.

Sehubungan itu tegas beliau, usaha perlu dipertingkatkan untuk menawan kembali sokongan rakyat Pulau Pinang untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bagi Umno, kami akan bekerja kuat untuk menang dalam pilihan raya... kami menang di 11 kawasan pada 2008 dan yakin boleh menang dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum akan datang,” kata beliau ketika itu mengulas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan yang mengakui DAP masih boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PR satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13, tetapi meramalkan BN berpeluang lebih baik untuk menawan semula selepas itu.

Pada pilihan raya umum lalu, daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Umno bertanding di 15 kerusi dan menang di 11 kawasan. Gerakan bertanding di 12 kerusi dan kalah teruk manakala baki kerusi ditanding MCA dan MIC.

Gerakan juga dijangka akan mengumumkan nama bakal calon peringkat awal selepas sambutan Tahun Baru Cina tahun depan.

Tiada ulasan: