Selasa, 16 November 2010

Sukan Asia: Malaysia kutip emas pertama

BERNAMA


Atlet negara Chai Ying Fong ketika beraksi dalam acara wushu kategori Taijiquan\Taijijian Wanita sekali gus meraih pingat emas pertama negara pada kejohanan Sukan Asia Ke-16 di Nansha Gymnasium semalam. — Bernama
GUANGZHOU — Malaysia memperolehi pingat emas pertama pada Sukan Asia Ke-16 di sini menerusi Chai Fong Ying dalam acara wushu pada hari ketiga temasya yang bermula secara rasmi, Sabtu lalu.

Malaysia juga meraih satu pingat perak menerusi Ibrahim Amir yang beraksi dalam perlawanan akhir acara individu pool 8 bola acara biliard.

Selepas tamat semua acara yang melibatkan atlet Malaysia, kontinjen negara kini mengumpul satu emas, satu perak dan tiga gangsa untuk menduduki tangga kelapan dalam senarai kutipan pingat.

Sehingga pukul 11 malam tadi, tuan rumah terus menguasai jumlah kutipan pingat dengan mengutip 53 emas, 20 perak dan 19 gangsa, diikuti Korea Selatan (18/13/18) dan Jepun dengan 13 emas, 25 perak dan 23 gangsa.

Kejayaan Fong Ying semalam menyaksikan dia mengekalkan pingat emas kategori Taijijian yang diraih ketika penampilan pertamanya di Sukan Asia Doha, Qatar, empat tahun lepas.

Pada pertandingan yang melibatkan kombinasi dua disiplin itu, Fong Ying berjaya meraih 19.36 mata.

Dalam disiplin Taijijian, Fong Ying mengutip 9.67 mata sementara pada disiplin Taijiquan, dia meraih markah tertinggi iaitu 9.69 mata.

Sementara itu, seorang lagi peserta negara dalam acara sama, Ng Shin Yi hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan kelima dengan mengutip 19.22 mata.

Pingat perak dari Ibrahim pula membolehkan atlet berusia 49 tahun itu menamatkan kemarau pingat peribadinya selepas pulang dengan tangan kosong dari dua edisi Sukan Asia sebelum ini.

Pencapaian terbaik Ibrahim dalam dua edisi Sukan Asia terdahulu ialah ke pusingan separuh akhir.

Pada acara akhir, Ibrahim tewas 4-7 kepada Kuo Po Cheng dari Taiwan.

Di Velodrom Guangzhou, pelumba trek sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang menempah tiket ke pusingan separuh akhir hari ini dalam acara pecut 200m individu selepas menewaskan Hassanali Varposhti dari Iran pada saingan suku akhir.

Pelumba yang digelar `The Pocket Rocketman' itu memerah kudratnya untuk mencatat 10.781s pada saingan pertama dan 10.982s pada saingan kedua untuk menewaskan pelumba Iran itu.

Pada saingan separuh akhir hari ini, Mohd Azizulhasni akan dicabar oleh penyandang juara Zhang Lei dari China dan dua pelumba Jepun, Kitatsuru Tsubasa dan Nitta Yudai.

Dalam saingan wanita 200m pecut individu, Fatehah Mustafa gagal melepasi saingan suku akhir, tumpas kepada Kim Wongyeong dari Korea Selatan.

Dalam acara kejar mengejar berpasukan, skuad yang dibarisi Mohamad Akmal Amrun, Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Mohd Rizal Tisin, biarpun tumpas kepada pasukan Iran, namun memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara tersebut.

Mereka mencatat empat minit, 18.596 saat sementara pasukan Iran melakukan 4:15.225s.

Pengurus pasukan Datuk Naim Mohamad berkata catatan 4:18.596s itu memperbaharui rekod kebangsaan 4:20 yang dicatat oleh pasukan yang sama pada Kejohanan Dunia di Beijing, Januari lepas.

Skuad bola sepak pula mengakhiri cabaran selepas tewas 1-3 kepada juara bertahan Iran pada saingan pusingan kedua.

Walaupun hadir tanpa sembilan pemain barisan utama serta pemain-pemain yang digantung akibat kad merah pada perlawanan menentang China pada Jumaat, anak buah K. Rajagobal tetap mempamerkan permainan terbaik mereka.

Walaupun, kontinjen Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha yang disambut di sini hari ini, sehari lebih awal dari Malaysia, namun pencarian emas bagi memenuhi sasaran sembilan pingat emas akan diteruskan.

Tumpuan kembali terarah kepada Mohd Azizulhasni yang akan bersaing dalam peringkat separuh akhir acara pecut 200m.

Ratu-ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Zandra Aziela Ibrahim akan memulakan pencarian emas dari acara perseorangan wanita di Dewan Boling Tianhe.

Pasukan badminton lelaki dan wanita negara juga akan memulakan cabaran acara individu pada perlawanan yang akan berlangsung di Gimnasium Tianhe.

Tiada ulasan: