Sabtu, 20 Februari 2010

Warga Britain maut kereta terbabas

BERITA HARIAN ONLINE


GURUN: Seorang warga Britain maut selepas kenderaan mewah jenis pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam longkang, di Kilometer 77.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Harris Collin, 63, yang memandu kenderaan jenis Mercedes 320 mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak keluar daripada pacuan empat roda berkenaan.

Jurucakap polis Kuala Muda berkata, kenderaan mangsa dipercayai datang dari arah selatan menuju ke Bukit Kayu Hitam dipercayai dipandu laju, hilang kawalan lalu terbalik beberapa kali sebelum masuk ke dalam longkang berdekatan dan melambung semula ke tengah jalan.

Katanya, ketika pacuan empat roda itu melambung semula di tengah jalan, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah sama melanggar kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun pemandu Vios itu tidak cedera.

“Kita percaya kenderaan ini dipandu laju berikutan terdapat kesan brek yang panjang di atas jalan.

“Mangsa yang tercampak keluar daripada kenderaan itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya.

Tiada ulasan: