Jumaat, 12 Februari 2010

Sistem Pembelajaran Masih Ditakuk Lama

Oleh: HALIK ZAMAN (sabahkini)


SETIAUSAHA Perhubungan Pimpinan Negeri yang juga merangkap Ketua Cabang PKR Kudat, Mursalim Tanjul hari ini mendakwa bahawa tiada banyak pembangunan yang dapat di nikmati oleh penduduk luarbandar kerana tumpuan kepimpinan UMNO hanyalah tertumpu di dalam bandar dan diri mereka serta kroni sahaja.

Katanya, jika ditinjau pembangunan dan kemajuan di kampung-kampung di luar bandar, kita masih dapat melihat indeks kemiskinan tegar masih lagi tinggi.

“Jika kita ke pedalaman, kita tinjau ke sekolah kampung, sistem pembelajaran dan prasarana pendidikan yang mereka tawarkan masih seperti tahun 50-an kerana pelajar dididik dengan apa yang ada di hadapan mata sahaja,” kata Mursalim.

Malah, kata Mursalim, ramai juga kanak-kanak tercicir dari bangku sekolah kerana ibu bapa mereka tidak berkemampuan disebabkan kos hidup yang semakin meningkat.

Mursalim menambah, kebanyakan penduduk kampung bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap sehingga membataskan perbelanjaan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Harga asas barangan makanan juga agak tinggi kosnya di pedalaman sehingga memberikan tekanan kepada penduduk di luar bandar dan menjadi punca keciciran sekolah atau gagal dalam pelajaran berterusan,” kata Mursalim.

Menurut Mursalim lagi, kerajaan UMNO tidak memberikan komitmen kepada golongan kurang berkemampuan ini dan tiada inisiatif diambil untuk memantau harga-harga barangan di luar bandar.

“Saya kesal kerana masih dapat melihat kanak-kanak berselipar ke sekolah kerana bantuan pakaian sekolah tidak sampai ke sasaran,” terang Mursalim.

Mursalim menambah, “penduduk luarbandar hanya dapat melihat wakil-wakil rakyat apabila tiba musim pilihanraya dan ketika itulah mereka benar-benar mempamerkan keprihatinan yang penuh kepalsuan, semata-mata untuk meraih undi dari penduduk-penduduk luar bandar dan bila selesai pilihanraya, batang hidung mereka pun susah kelihatan.”

Mursalim sekali lagi menegaskan, seandainya PKR dan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah, PKR berjanji akan memperluaskan skop fokus kepada penduduk-penduduk luar bandar.

PKR, katanya, mahukan semua penduduk dan rakyat Sabah tidak kira di mana juga mereka berada untuk menikmati pembangunan seimbang baik dalam ataupun luar bandar.

Oleh yang demikian, Mursalim menyeru kepada semua rakyat, untuk memberikan peluang kepada PKR dan Pakatan Rakyat membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di bumi Sabah ini dengan mengundi calon Pakatan Rakyat.

“Kita mahu membela nasib rakyat yang terpinggir, PKR tidak mahu lagi melihat masih ada lagi kemiskinan tegar di pedalaman. PKR mahu semua rakyat menikmati setiap pembangunan dan kemajuan yang kita berikan,” ujar Mursalim mengakhiri ucapan beliau.

Tiada ulasan: