Isnin, 8 Februari 2010

Siasatan nahas perahu naga ke Peguam Negara

BERNAMA



Laporan siasatan mengenai kejadian perahu naga terbalik di pantai Lebuh Macallum, Pulau Pinang pada 17 Jan lalu yang menyebabkan enam orang terkorban telah dikemukakan kepada pihak pendakwaan negeri, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob.

penang dragon boat accident 170109 wee kia siong"Kami telah kemukakan laporan siasatan kepada pihak pendakwaan negeri dan difahamkan laporan ini akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya.

Dalam laporan itu, polis mencadangkan inkues dilakukan untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemakaian pangkat ACP kepada Supt Gan Kong Meng di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Beliau berkata dalam melakukan siasatan itu, polis merakamkan percakapan 26 orang saksi yang termasuk pasukan penyelamat, pihak sekolah, penganjur dan Jabatan Pelajaran.

"Siasatan ini tertakluk kepada apa juga penghalusan oleh pihak pendakwaan dan mungkin mereka memerlukan maklumat tambahan yang lain, kita bersedia untuk bertindak kepada apa juga arahan yang dikeluarkan," katanya.

penang dragon boat accident 170109 rescue teamPada 17 Jan lalu, seorang guru dan lima pelajar Sekolah Tinggi Chung Ling di sini lemas apabila perahu naga yang dinaiki terbalik dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di perairan dekat Lebuh Macallum.

Mereka adalah antara 18 pendayung kelab sekolah itu yang akan menyertai Lumba Perahu Antarabangsa Pulau Pinang pada Julai ini.

Seramai 12 pelajar lain terselamat dengan berenang dan dibantu oleh bot-bot berhampiran di tempat kejadian.


Tiada ulasan: