Isnin, 8 Februari 2010

Pro-M bersemuka dengan NC UPM

Abdul Rahim Sabri


Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bersemuka dengan naib casellor UPM hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan membatalkan kemenangan tujuh calon mereka dalam pilihan raya kampus 26 Januari lalu.

Pengerusi Pro-M UPM, Ahmad Faris Rakbi berkata ini kerana terdapat percanggahan kenyataan antara Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah dengan jawatankuasa pemilihan berhubung pembatalan kemenangan calon mereka itu.

Kemenangan tujuh calon pro-M itu dalam pilihan raya kampus tersebut, telah dibatalkan kerana berkempen secara berkumpulan di laman sosial Facebook.

Ahmd Faris berkata, naib canselor itu dilaporkan berkata kemenangan tujuh calon itu tidak dibatalkan, sedangkan timbalan naib canselor hal ehwal pelajar dan jawatankuasa pemilihan membuat keputusan sebaliknya.

"Jadi keputusan bercanggah. Oleh sebab itu kita nak berjumpa dengan beliau untuk meminta penjelasan tentang pendiriannya berhubung perkara ini," katanya

Mengulas lanjut, Ahmad Faris berkata pihaknya telah berusaha untuk menemui Dr Nik Mustapha sejak calon mereka menerima surat pembatalan tersebut dari bahagian hal ehwal pelajar (HEP) pada 27 Januari lalu - sehari selepas pilihan raya kampus.

"Sejak tarikh itu, kita nak berjumpa dengan beliau, tapi tak boleh. Jadi hari ini beliau bersetuju nak berjumpa dengan kita," katanya sambil menambah pertemuan itu akan diadakan di pejabat NC jam 5 petang ini.

Katanya, dalam pertemuan hari ini, mereka juga akan menuntut supaya pilihan raya kampus UPM diadakan semula.

Pada 29 Januari lalu, jawatankuasa pemilihan bagi pilihan raya kampus UPM memutuskan tidak perlu diadakan semula pilihan raya ekoran pembatalan kemenangan tujuh calon umum pro-M itu kerana berkempen dalam laman sosial Facebook.

Sebaliknya, kekosongan tempat itu secara automatik digantikan dengan tujuh calon lain yang mendapat kutipan undi kedua tertinggi.

Tujuh calon umum pro-M yang dibatalkan kemenangan mereka ialah Muhammad Hazim Md Noh, Siti Hajar Zolqarnain, Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi, Azlinda Abdullah, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus.

Sumber berkata, tujuh calon lain yang menggantikan mereka ialah Anas Abu Hassan, Low Yak Leng, Hanita Hanim Mohd Ali, Muhd Zulkhairi Zulkifli, Siti Aisah Atan, Adibah Aini Anuar dan Pang Ping Fen.

Dalam pilihan raya kampus itu, pro-Aspirasi menguasai 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan manakala pro-M hanya memenangi 11 kerusi. Ekoran pembatalan tersebut, kerusi yang dimenangi pro-M kini hanya tinggal empat sahaja.

Tiada ulasan: