Khamis, 18 Februari 2010

Pengundi Cina Jadi Tumpuan Dalam 'Tahun Harimau'

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pengundi Cina nampaknya menjadi tumpuan Barisan Nasional dan pakatan pembangkang ketika masyarakat itu merayakan "Tahun Harimau".

Selangor menjadi pilihan kedua-dua pihak untuk menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina, dengan masing-masing mengatur perhimpunan pada Sabtu ini, hari ketujuh dalam kalender Tahun Harimau bagi kaum Cina.

Kampung Baru Pandamaran di Klang adalah lokasi sambutan perayaan peringkat kebangsaan Tahun Baru cina anjuran BN. Kampung Baru Pandamaran adalah kampung baru Cina terbesar di Selangor dan kedua terbesar di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN akan hadir pada perayaan itu, yang pertama kali dianjurkan oleh Kerajaan Pusat di sebuah kampung baru Cina sejak perkampungan seperti itu diwujudkan lebih 50 tahun lepas.

Kini terdapat 452 di seluruh semenanjung Malaysia, 135 daripadanya terletak di Perak.

Ahli politik veteran, Datuk Yap Pian Hon melihat kehadiran Najib sebagai amat bermakna kerana ia satu bukti kesungguhan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

"Apabila Tahun Baru Cina disambut di sebuah kampung baru, ini bermakna Perdana Menteri mengambil berat mengenai keadaan sosio ekonomi dan taraf hidup penduduk di situ. Sebab itulah beliau turun padang dan ini selaras dengan gagasan 1Malaysia," kata Yap yang juga bekas Naib Presiden MCA yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung baru di Serdang.

Satu pertiga daripada penduduk Cina di negara ini menetap di kampung-kampung baru, dan menurut Yap, mereka ini merupakan satu kuasa besar dalam politik negara.

Beliau berkata, sejak 50 tahun lepas, kerajaan telah membawa pembangunan yang besar kepada kampung baru Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

"Bukan itu saja, Kerajaan Pusat juga telah memberikan hak milik tanah kepada penduduk di situ," kata Yap, yang pernah menjadi anggota exco kerajaan Selangor yang bertanggungjawab mengenai kampung baru.

Pada Sabtu ini juga, satu acara sambutan Tahun Baru Cina akan dianjurkan oleh pakatan pembangkang melalui kerajaan Selangor, di Tokong Dong Zen di Jenjarom, hanya 20 kilometer dari Kampung Baru Pandamaran.

Pada sambutan Hari Wesak baru-baru ini, Najib turut melawat tokong itu sebagai memberi penghormatan kepada penganut agama Buddha.

Sabtu ini, Perdana Menteri dijadual mengunjungi tiga keluarga di Kampung Baru Pandamaran selain berdialog dengan penduduk di situ di sebuah kedai kopi.

Pakatan pembangkang terdiri DAP, Pas dan PKR melihat pemilihan Kampung Baru Pandamaran oleh BN bagi acara sambutan Tahun Baru Cina itu sebagai satu helah politik bagi menarik pengundi Cina.

Kerajaan Selangor mendakwa sambutan anjuran mereka dirancang lebih awal daripada lawatan Najib, dan BN tidak sepatutnya mengadakan "satu acara politik" di lokasi yang berdekatan.

Bagaimanapun Yap berkata, pakatan pembangkang tidak seharusnya melihat perhimpunan oleh BN itu sebagai satu acara politik kerana ia merupakan satu sambutan Tahun Baru Cina.

"Mereka patut melihatnya secara positif kerana Perdana Menteri sanggup datang dan meraikannya bersama penduduk kampung baru," katanya.

Yap berkata, beliau berpendapat pakatan pembangkang sebenarnya bimbang dengan pendekatan Najib yang berani melakukan sesuatu yang baru seperti menghadiri Hari Wesak, menyertai jamuan malam sebuah sekolah Cina dan bersama-sama kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina.

Katanya, pembangkang tidak boleh melihat kehadiran Najib ini sebagai satu isu politik kerana Perdana Menteri turut melawat Batu Caves bulan lepas untuk bersama kaum India yang menyambut Thaipusam.

Beliau juga memberi penghormatan kepada kaum Sikh sempena sambutan Hari Vaisaki dengan melawat sebuah gurdwara di Jalan Raja Alang di sini pada April tahun lepas. -

Tiada ulasan: