Rabu, 3 Februari 2010

Keputusan PRK UM diumum petang ini

MALAYSIA KINI




Keputusan rasmi pilihan raya kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) yang ditangguhkan minggu lalu dijadual diumumkan pada jam 4 petang ini di Dewan Tunku Canselor.

Keputusan PRK Khamis lalu digantung selepas ratusan mahasiswa daripada kumpulan yang tewas berdemonstrasi dan menuduh berlakunya penyelewengan.

Ketegangan selama dua hari itu reda seketika selepas rundingan lebih empat jam antara kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) yang tewas dengan pihak pengurusan UM pada Jumaat lalu.

Bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, turut bersama menyertai rundingan berkenaan yang mengambil keputusan menggantung keputusan sementara menunggu siasatan.

Pada pertemuan itu, naib canselor, Ghauth Jasmon juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M melantik perunding bagi menguji sistem undian elektronik (e-undi) yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan melantik konsultan teknologi maklumat (IT) lulusan Universiti Harvard, bagi membuat laporan penuh siasatan ke atas e-undi dan laporannya dijangka diketahui hari ini.

Konsultan berkenaan dipilih atas permintaan kumpulan Pro-M dan pihak UM turut mempercayai kewibawaan mereka memandangkan Universiti Harvard telah lama menggunakan sistem tersebut.

Jumaat lalu, Ghauth juga berjanji pilihan raya kampus akan diadakan semula jika terbukti berlakunya penyelewengan.

Ini kali pertama keputusan pilihan raya kampus UM ditangguhkan pengumumannya hampir seminggu selepas hari pengundian.

Pada PRK itu kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Tiada ulasan: