Ahad, 7 Februari 2010

AMK Edar Risalah Satu Juta Tangkis Konspirasi Dua

TV SELANGOR


Sekurang-kurangnya satu juta risalah telah dicetak dan diedar Angkatan Muda Keadilan untuk memberi penerangan berhubung perbicaraan konspirasi dua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain pengedaran risalah maklumat, Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata sayap pemuda itu akan turut menganjurkan ceramah-ceramah kelompok dan besar tanpa henti di seluruh negara supaya rakyat peka dan termaklum dengan perkembagaan terkini perbicaraan ini.

“Kita bersetuju akan mengedar 1 juta risalah terhadap fitnah 2 ini dan kita berazam setiap rumah rakyat Malaysia dapat gambaran jelas tentang perkara yang sengaja direka-reka oleh pemimpin Umno/BN,” katanya.

Selain itu juga AMK turut mengemaskini maklumat yang tepat berhubung dengan konspirasi 2 ini melalui laman sesawang sosial Facebook dan Twitter.

Bagi memastikan usaha menangkis fitnah terhadap Anwar Ibrahim tersusun dan sistematik, AMK bermesyuarat setiap hari membabitkan wakil dari setiap cabang parti untuk membincangkan strategi susulan serta mendapatkan input terkini.

“AMK dan setiausaha agung telah melakukan satu organisasi pada setiap hari perbicaraan ada wakil-wakil dari setiap cabang yang akan turun secara bergilir setiap hari dan ini akan dilakukan mulai hari Isnin depan ini,” katanya.

Shamsul turut berkata mobilisasi aktivis tempatan dan belia muda turut dipergiatkan.

“Kita menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengangkat tema bersama kempen kali ini ‘Selamatkan Malaysia, Tolak Fitnah Yang Ke-2’ dan kita harapkan hari Isnin ini, rakyat Malaysia, penyokong dan pimpinan parti dapat guna warna tema oren menunjukkan revolusi dan kebangkitan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: