Rabu, 29 Disember 2021

Penoreh getah dihukum penjara 5 tahun tumbuk muka isteri hingga koyak hidung

WARTA RAKYAT

Tumbuk Isteri

SEORANG penoreh getah yang menumbuk muka isteri hingga koyak hidung wanita dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Fakrullah Mukhatar, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan parah ke atas isterinya yang berusia 39 tahun di sebuah rumah di Chabang 3 Chuchoh Puteri A, Kuala Krai pada pukul 10.30 pagi pada 21 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tindakan tertuduh memukul isterinya itu menyebabkan hidung mangsa cedera parah dan menerima sembilan jahitan.

Tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan kerana sudah berbaik semula dengan isterinya selepas kejadian itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian itu tertuduh secara tiba-tiba mengamuk sebelum isterinya cuba menenangkan lelaki itu.

Ketika itu, tertuduh memukul badan isterinya menyebabkan wanita itu melemparkan kata-kata dengan mengatakan suaminya itu lelaki dayus.

Berang dengan kenyataan tersebut, tertuduh menumbuk muka isterinya sekali dengan tangan kanan sehingga bahagian atas hidung wanita itu koyak dan berdarah serta berparut kekal.

Tiada ulasan: