Sabtu, 1 Mei 2021

‘Dua tahun sudah cukup’

Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Abdul Hamid bercakap pada sidang akhbar terakhir sebagai Ketua Polis Negara di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN) , Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu tempoh dua tahun sudah mencukupi bagi beliau untuk mengemudi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, dia sudah bersedia untuk mengundurkan diri dan telah melakukan yang terbaik sejak dilantik ke jawatan itu secara kontrak pada 3 Mei 2019.

“Saya tidak berhasrat untuk kekal sebagai KPN. Yang bermula pasti akan berakhir.

“Saya sudah berusaha seperti ikrar dan sumpah untuk bertanggungjawab menjaga amanah meningkatkan martabat dan integriti pasukan.

“Saya akui misi ini penuh ranjau, mustahil untuk capai 100 peratus kerana masih ada yang berdegil dan tidak mahu membuang tabiat lama (rasuah),” kata Abdul Hamid pada sidang akhbar terakhirnya di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid yang akan menamatkan perkhidmatannya pada Isnin depan mengakui beliau sedih melihat seorang demi seorang anggota dan pegawainya diheret ke mahkamah untuk pertuduhan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pasukan itu yang berjaya menangani kes-kes berprofil tinggi dan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara sejak kebelakangan ini yang menjadi satu tanda aras baharu dalam pasukan PDRM.

Beliau turut mengingatkan warga polis supaya bertindak adil kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama, darjat, asal-usul dan fahaman politik.

“Campur tangan politik mesti dihindarkan, jika tidak maka hancurlah kredibiliti pasukan keramat ini. Parti datang dan pergi PDRM akan kekal untuk menjaga keamanan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Timbalan KPN, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, 60, dilantik KPN baharu bagi menggantikan Abdul Hamid berkuat kuasa pada Selasa depan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: