Astro Awani
Mohd
Fadzil berkata, peranan ahli politik boleh dihadkan kepada bertindak
sebagai penimbang tara terhadap satu-satu isu atau kes, bukan mentadbir
urus secara mikro. - Foto UNIMAS
KUALA LUMPUR:
Sudah tiba masanya pucuk pimpinan negara melakukan diseksi atau
pengasingan khusus, terhadap skop dan limitasi pembabitan kuasa politik
dengan tugas penjawat awam.
Demikian
pandangan penganalisis Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk
Mohd Fadzil Abd Rahman, susulan pendedahan dibuat Ketua Polis Negara Tan
Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.
"Sudah
tiba masa diulang kembali saranan pernah dibuat sebelum ini, supaya
pemilihan dan cadangan calon untuk diangkat ke jawatan strategik dan
tertinggi, seharusnya dilakukan badan bebas diwakili pelbagai latar
belakang, dan tidak seharusnya terikat dengan mana-mana dukungan
politik.
"Selagi
ia tidak dilaksanakan, selama itulah kemelut pertikaian antara kuasa
politik dan tugas ketua jabatan dilantik, dengan jabatan, akan
menghadapi dilema sama tanpa kesudahan," katanya.
Beliau
yang merupakan Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan)
UNIMAS berkata demikian menerusi tulisannya bertajuk 'Halang campur
tangan politik elak kemelut perebutan kuasa' di akhbar portal BH Online
hari ini.
Mohd
Fadzil berpendapat, kuasa politik seharusnya lebih melihat kepada aspek
dasar, hala tuju dan strategi yang ingin disasarkan, sesuai dengan
kedudukan diberikan.
"Soal urusan pentadbiran, susun atur penempatan kakitangan dan cadangan kemajuan kerjaya sebaiknya tidak usah dicampuri.
"Berilah ruang dan hak untuk ketua dilantik diberikan peluang untuk melaksanakan tugas hakikinya.
"Hanya
sekiranya berlaku pertikaian bagi kes benar-benar didapati mempunyai
merit untuk dipertikaikan, di sinilah kehadiran dan campur tangan orang
politik dalam pentadbiran dirasakan perlu," tulis beliau lagi.
Katanya,
peranan ahli politik boleh dihadkan kepada bertindak sebagai penimbang
tara terhadap satu-satu isu atau kes, bukan mentadbir urus secara mikro.
Perkara
ini, kata Mohd Fadzil, telah dilaksanakan di sesetengah kementerian,
tetapi, "sering kedengaran, tanpa sebab musabab kukuh, ada kalanya
keputusan badan bebas sepatutnya bebas itu dipatahkan dengan hanya
menggunakan kuasa politik."
Di sinilah, katanya, isu persempadanan skop tugas dan aspek pengagihan kuasa selayaknya diberikan perhatian amat mendalam.
"Tidak
sepatutnya hak ketua dilantik untuk menguruskan jabatan di bawah
kelolaannya itu boleh dijentik ketepi kerana kuasa politiknya sahaja,"
tambahnya.
Mohd Fadzil berkata, pendedahan terbuka dan telus oleh Abdul Hamid itu bukan sesuatu yang baharu.
"Sudah
banyak kedengaran sebelum ini, pembabitan kuasa politik dalam
pentadbiran perkhidmatan awam yang ada kalanya seolah-olah tidak
bersempadan lagi.
"Ia pernah dan sedang berlaku sehingga tidak dapat dibezakan lagi antara peranan ketua dilantik dengan peranan ahli politik.
"Dalam
kata lain, apabila soal pentadbiran rutin harian termasuk pertukaran
kakitangan turut dicampuri secara 'tadbir mikro', tidak hairanlah isu
yang sedang hangat diperkatakan itu mengundang banyak percakaran
dalaman."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan