Sabtu, 1 Mei 2021

20 jenis barang ditambah dalam SHMMP 2021 bermula 6 Mei

Oleh AMREE AHMAD
ALEXANDER NANTA LINGGI

PUTRAJAYA: Sebanyak 20 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 fasa kedua yang bermula 6 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai langkah pengawalan kenaikan harga menjelang perayaan tersebut.

“Kementerian menjangka barang keperluan berkaitan Aidilfitri menerima permintaan tinggi dan kemungkinan tekanan dari sudut harga.

“Justeru, sejumlah 20 jenis barangan dikenal pasti untuk fasa kedua SHMMP 2021 itu yang terdiri daripada sayuran, barang kering dan hasil laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Barangan berkenaan meliputi tomato, cili merah, cili kering, kubis bulat import (kecuali Beijing), kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun, halia tua, kelapa biji (borong) dan kelapa parut (runcit).

Selain itu bawang merah besar import (China), bawang besar (Holland), bawang putih (China), ubi kentang import (China) dan kacang tanah.

Sementara ikan segar beku pula antara lapan hingga 10 ekor sekilogram yang meliputi selar, kembung, selayang serta spesies demuduk, sagai, cermin atau cupak di Sabah sahaja.

Katanya, dengan penambahan itu, jumlah keseluruhan barang SHMMP 2021 ialah 32 barangan setelah ditambah 12 jenis barang dalam fasa pertama bermula 21 April lalu.

Pelaksanaan harga siling secara berfasa itu, katanya, dibuat berdasarkan data dan bukti harga barang di pasaran serta maklum balas pengguna yang bertujuan menstabilkan harga kritikal.

Jelas beliau, barangan itu dipilih kerana ia menjadi menu utama bagi perayaan dan langkah tersebut membolehkan seramai mungkin rakyat dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana yang tenang.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi SHMMP2021 kerana jika ingkar mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sekiranya sabit kesalahan, individu itu boleh dihukum denda mahkamah hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau dikompaun hingga RM50,000,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: