Isnin, 3 Mei 2021

1.45 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan

DR ADHAM BABA

SEBANYAK 555,288 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam akaun Twitter hari ini berkata, setakat semalam juga, sejumlah 898,094 individu telah menerima suntikan dos pertama.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,453,382 dos.

Menerusi satu infografik, Dr Adham berkata, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 120,749 dos diikuti Sarawak (92,292), Kuala Lumpur (90,611), Johor (78,716) dan Sabah (74,740).

Beliau berkata lima negeri yang melengkapkan dua dos suntikan COVID-19 tertinggi ialah Selangor dengan 74,962 diikuti Sarawak (57,812), Sabah (52,557), Perak (51,918) dan Kuala Lumpur (51,615).

Setakat semalam, hanya 38.9 peratus atau 9,447,232 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi 2,450,363 iaitu 50.60 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga, yang dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Tiada ulasan: