Isnin, 1 Februari 2021

Hasil samperit di sisi suami koma, jadi rezeki keluarga

Oleh Mohd Khidir Zakaria 

Jusrina sedang menyiapkan kuih samperit tidak jauh dari katil tempat suaminya yang terlantar koma ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir ZakariaJusrina sedang menyiapkan kuih samperit tidak jauh dari katil tempat suaminya yang terlantar koma ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Sejak suaminya koma akibat kemalangan tiga bulan lalu, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya, terutama dalam mencari rezeki seharian.

Kalau dahulu, tugas mencari rezeki dikongsi bersama suami tetapi kini semuanya perlu diuruskan sendiri oleh seorang wanita di sini dengan bantuan anak-anak.

Sebelum ini, wanita cekal ini, Jusrina Jusoh, 38, mereka mengusahakan jualan nasi lemak ayam berempah di hadapan rumah bersama Baharudin Zainal, 50, sebelum suaminya itu ditimpa kemalangan pada November lalu.

"Sejak itu segala-galanya berubah apabila hilang tempat bergantung harap, anak-anak masih sekolah, semuanya perlukan duit. Dua bulan saya masih mengatur kembali kehidupan kerana suami juga perlu diberi tumpuan.

"Nasib baik empat anak kami rajin membantu, setidak-tidaknya ringan sedikit beban saya kerana mereka tahu hanya mereka yang saya ada.

"Mujur ada ketuhar pembakar kuih hadiah daripada bapa mentua saya dua tahun lalu, dapatlah saya membuat kuih samperit untuk dijual sambil menjaga suami," katanya ketika di temui di rumah sewa keluarga itu dekat di Taman Vista Jaya, Lukut di sini.

Jusrina berkata, setiap hari dia perlu menguruskan suami terlebih dahulu termasuk memandikan dan memberinya susu, sebelum memulakan urusan harian lain.

"Saya selesa menghasilkan kuih samperit tidak jauh dari suami kerana boleh berbuat demikian sambil bersembang dengannya walaupun dia mungkin tidak dengar tetapi saya mahu dia tahu saya setia menjaganya tanpa rasa penat.

"Keyakinan saya tinggi yang suami akan pulih seperti sedia kala dan tidak putus berdoa setiap kali selepas solat dan ini adalah sedikit ujian Allah kepada kami sekeluarga dan saya perlu kuat demi anak-anak.

"Empat anak kami berusia daripada 11 hingga 20 tahun, tiga masih sekolah dan yang sulung sedang mencari kerja sambil melakukan pelbagai kerja rencam bagi mencari belanja tambahan," katanya.

Jusrina yang lebih dikenali sebagai Eena dalam kalangan pelanggannya, menghasilkan pelbagai jenis kuih samperit seperti susu, coklat, redvelvet dan klasik menggunakan jenama 'EenaDina D'house Licious'.

"Biarpun masih bertatih dalam perniagaan ini, saya perlu bersungguh-sungguh kerana inilah punca pendapatan yang mampu diusahakan demi suami dan anak-anak yang semakin meningkat remaja.

"Bagi saya, kualiti, kebersihan, keenakan kuih samperit sentiasa diutamakan. Kebanyakan pelanggan akan berulang membeli, membantu saya mempromosi jualan ini dari mulut ke mulut, cukup membuatkan saya sibuk," katanya yang hanya mampu membuat 20 bekas sehari.

Katanya, apa yang dibimbangi sekarang ialah rumah sewanya bakal dijual pemilik selepas didatangi ejen hartanah baru-baru ini.

"Kalau boleh janganlah dalam masa terdekat ini kerana suami saya belum pulih lagi dan saya belum mampu mencari rumah lain sebagai pengganti.

"Namun ejen hartanah itu hanya mengambil gambar dan memberitahu penjualan rumah ini bukanlah dalam masa terdekat tetapi saya masih tetap melunaskan sewa sebanyak RM400 sebulan," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: