Kuala Lumpur: Sejak 11 tahun lalu, rutin hariannya adalah ke sekolah untuk mengajar dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama anak didiknya.
Namun, tahun ini semuanya berubah disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pembelajaran secara bersemuka terpaksa dibuat dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).
Bagi Mohd Farez Atan, 37, pengalaman mengharungi 2020 banyak menguji semangat golongan guru sepertinya untuk terus memberikan ilmu kepada anak bangsa.
Dia yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Sentul, berkata dirinya perlu berdepan norma baharu dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Tidak ada proses pembelajaran secara bersemuka seperti selalu. Semuanya bergantung kepada online (dalam talian).
"Bagaimanapun, tidak ada masalah besar, tetapi ia berbeza kerana jika bersemuka, kita lebih tahu apa masalah pelajar sama ada dia faham atau tidak.
"Belajar secara online ini sukar juga untuk mereka (pelajar) memberi perhatian kerana berada di tempat (rumah) masing-masing, walaupun guru berada di depan, tetapi secara maya," katanya.
Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul itu berkata, apa yang menjadi kebimbangannya adalah kehadiran murid serta penyertaan mereka di kelas dalam talian.
Menurutnya, ada pelajar yang dikesan 'hilang' sejak sekolah ditutup, selain ada juga yang terpaksa membantu keluarga mencari pendapatan tambahan.
Katanya, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pembelajaran mereka walaupun dapat mengikuti kelas harian mengikut jadual yang disediakan di sekolah.
"Guru-guru juga ada yang masih menyesuaikan diri dengan kelas online sama ada menggunakan Google Classroom atau aplikasi WhatsApp.
"Cuma ada juga ibu bapa yang mengeluh data (Internet) cepat habis serta anak mereka tidak dapat memberi penumpuan, ini yang menjadi masalah," katanya.
Oleh itu, beliau berharap PdPR ini akan dapat diikuti tanpa sebarang masalah selain aspek teknikal seperti data dan kemudahan Internet dapat di atasi secepat mungkin.
Katanya, sebagai tenaga pengajar, sebahagian guru juga berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan format baru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun depan.
"Kita doakan agar pandemik ini segera berlalu. Jika tidak, semua pihak termasuk guru, pelajar dan ibu bapa perlu hidup dalam norma baharu dan pengajian bukan lagi berlaku hanya di bilik darjah," katanya, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan