Sabtu, 26 Disember 2020

Jakim perjelas isu Merry Christmas di produk logo halal

Oleh AMREE AHMAD
ABDUL AZIZ JUSOH

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tiada peruntukan mengenai isu perayaan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk jika dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan.

“Ini meliputi sekiranya tidak dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, manual berkenaan dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) hanya terpakai untuk para pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Kenyataan itu merujuk artikel isu ucapan ‘Merry Christmas’ yang tular diperkatakan netizen setelah disiarkan menerusi sebuah portal berita tempatan semalam.

Menurut laporan itu, ada pemilik kedai bakeri mendakwa kononnya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan Kristian yang meminta ditulis ‘Merry Christmas’ di kek yang dipesan.

Mereka memberi alasan ia adalah sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan oleh Jakim sebagai salah satu syarat permohonan bagi mendapatkan sijil halal daripada agensi tersebut.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri turut memberi pencerahan mengenai isu ini melalui ciapan akaun sosial Twitternya.

Sambil menafikan ucapan pada produk jualan itu akan membatalkan sijil halal premis tersebut, beliau menjelaskan pemegang sijil boleh memenuhi tempahan tanpa sebarang masalah.

“Ringkasnya, jika kedai berkenaan ada sijil halal dikeluarkan oleh Jakim dan buat kek dengan ucapan perayaan agama tertentu untuk tujuan pameran di dalam premis, itu tidak dibenarkan.

“Tetapi jika kedai itu pula hanya menyediakan kek yang ditempah beli oleh pelanggannya dan ada ucapan perayaan agamanya pada kek tersebut, ia adalah dibenarkan,” jelas Zulkifli.

Beliau seterusnya berkata, ‘ada sedikit salah faham’ dalam isu berkenaan namun berharap dengan penjelasan yang diberikannya itu ia dapat ‘meleraikan salah faham’ tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: