Harits Asyraf Hasnan
Sultan
Nazrin mengingatkan para pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan
seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya
pernah
berpijak. - Foto Jabatan Penerangan
KUALA KANGSAR:
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan setiap mereka
yang diberi kuasa untuk tidak leka dalam menjalankan amanah.
Titah baginda, mereka yang diberi kuasa perlulah cekal menegakkan yang makruf dan tegas menentang yang mungkar.
“Kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada ILAHI.
“Dia
tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan
yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan; begitu juga, dia tidak
perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri, kerana
kekuatan yang diperoleh secara demikian, teramat rapuh sifatnya,” titah
baginda.
Baginda
bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah
Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana
Iskandariah, di sini hari ini.
Titah Sultan Nazrin, sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa.
“Betapa
kata tidak lagi dikota, atau kata akan bertukar nada – berlainan irama,
bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam.
“Watak
sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan
dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di
sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.
“Perubahan
sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan
mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri,
bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu
menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin,” titah baginda.
Justeru,
Sultan Nazrin mengingatkan para pemimpin bahawa semakin tinggi
kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat
kakinya pernah berpijak.
“Jangan sama
sekali membenarkan diri leka, terawang- awang dalam awan biru khayalan
hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang,
gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan