Bernama
Empat
lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas
pertuduhan membunuh Wan Hassan dalam kejadian samun di kediamannya, dua
minggu lepas. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR:
Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas
pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan
Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.
S.
Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23
tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan
terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret
Wong Chai Sia.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut
pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh
dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu,
Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 Nov lepas.
Mereka
didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34
Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit
kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara
kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Media
sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun
di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat
ditetak dengan parang di tangan kanan.
Mangsa
dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah
masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan