Jumaat, 27 November 2020

PGA tidak gentar, terus bersemangat gempur penyeludupan

BH ONLINE
Ketua Platun 5 PGA, Inspektor Muhammad Adlizan menunjukkan tempat kejadian seorang anggota PGA ditembak ketika membuat rondaan di Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam hari ini. FOTO BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM: Walaupun berdepan ancaman yang tidak mampu 'dihidu', warga Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak sesekali gentar atau gerun, sebaliknya terus bersemangat untuk menggempur anasir penyeludupan di sempadan negara.

Pegawai Gerakan Batalion 3 PGA, Inspektor Khor Kai Zhen berkata, sebagai anggota keselamatan, mereka terdedah dengan bahaya, namun bagi mengurangkan sebarang risiko pihaknya akan memastikan kesiapsiagaan mereka sentiasa pada tahap optimum.

"Seperti yang berlaku di sini semalam (kes tembakan anggota PGA) bila mereka (penyeludup) tengok kawalan anggota keselamatan kita ketat, mereka macam nak balas dendam, mereka lepaskan tembakan.

"Mungkin mereka nak alihkan perhatian kami, maka mereka tembak. Kejadian tembakan guna senapang angin ini sudah banyak kali berlaku cuma tidak mencederakan anggota," katanya ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian tembakan berhampiran pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Seorang anggota PGA, Lans Koperal Muhammad Amirul Amir cedera ringan petang semalam akibat terkena tembakan penyeludup.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, Muhammad Amirul, 26, melecet di bahagian perut selepas terkena tembakan senapang angin menggunakan peluru 'ball bearing' yang dilepaskan dari kawasan negara jiran, semasa sedang melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pos M16 di sini.

Sebelum ini Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, kejadian tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis yang mengorbankan seorang anggota PGA iaitu mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, Selasa lalu adalah insiden kali ketiga bulan ini.

Kejadian pertama dilapor berlaku pada 12 November lalu dan kejadian kali kedua berlaku pada 15 November, manakala kes Muhammad Amirul adalah kes keempat dalam bulan ini.

Khor berkata, walaupun menggunakan senapang angin, pelurunya boleh menembusi badan sehingga menyebabkan kecederaan parah dan lebih berbahaya jika jarak tembakan sangat hampir.

Sementara itu, Ketua Platun 5 PGA, Inspektor Muhammad Adlizan Admancur menyifatkan empat kejadian tembakan dalam tempoh sebulan adalah agak tinggi dalam tempoh singkat, namun ia tidak sesekali menjejaskan emosinya menjalankan tugas.

"Kami bertugas seperti biasa, apa yang berlaku tidak mematahkan semangat kami untuk sentiasa menjaga keamanan negara," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: