Khamis, 24 September 2020

Peruntukan sebanyak RM10 bilion untuk Kita Prihatin

Wartawan MalaysiaGazette
MGF07072020_PM-RASMI-BANCI-NEGARA13-681x454
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional hari ini mengumumkan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan berjumlah RM10 bilion di bawah pakej Kerangka Inisiatif yang mensasarkan kelompok-kelompok.

Kelompok itu adalah dari golongan B40 dan M40 yang berkeluarga dan bujang; golongan pekerja negara dalam pelbagai bidang dan golongan peniaga mikro dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas.

Menurut beliau, program ini diberikan kepada majikan yang masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas dan subsidi upah diberi sehingga 3 bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja .

Permohonan dibuka dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020.

”Saya juga telah menerima pelbagai maklum balas berhubung Program Subsidi Upah. Antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima Program Subsidi Upah kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan Perkeso sebelum 1 April 2020. Bagi memastikan golongan ini juga tidak tertinggal, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan Perkeso sehingga 31 Ogos 2020.

”Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga 6 bulan,” katanya dalam perutusan Khas Kerangka Inisiatif Tambahan Kjas: Kita Prihatin.

Pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 ini dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM 2.4 bilion.

Menurut beliau, kerajaan juga membuka semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP), khusus kepada peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkannya.

Sebelum ini, GKP yang telah dibuka pada 1 Mei 2020 hingga 15 Mei 2020 dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 setiap peniaga mikro telah memanfaatkan 545,000 peniaga kecil seluruh negara dengan jumlah RM1.63 bilion.

” Semasa turun ke padang dan bergaul dengan usahawan di peringkat akar umbi, saya menerima rungutan bahawa ada yang tidak menerima bantuan tersebut kerana tidak sempat untuk membuat permohonan. Terdapat juga peniaga yang tidak memenuhi syarat terdaftar sebelum 1 Januari 2020.

”Untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP, kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020,” ujar beliau.

‘GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020.

Bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

Pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memanfaat lebih daripada 200,000 peniaga mikro dengan melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM 600 juta.

Selain itu, kerajaan juga menyalurkan bantuan kewangan di bawah BPN 2.0 kepada isi rumah B40 dan M40, masing-masing membabitkan 3.7 juta dan 3.8 juta.

Golongan B40 akan mendapat bantuan sebanyak RM1,000 manakala RM500 kepada kumpulan B40 bujang; RM600 kepada isi rumah M40 dan RM300 kepada kumpulan M40 bujang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: