Jogging, menyamar polis, melepak antara kesalahan dilakukan
KUALA LUMPUR,
– Jogging ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,
menyamar polis sehingga menahan orang awam dan melepak dengan rakan
antara kesalahan yang dilakukan 367 individu yang dihadapkan ke Mahkamah
Majistret dan Mahkamah Sesyen di beberapa negeri hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan
juga denda terhadap pesalah ini selepas mereka mengaku bersalah atas
pertuduhan yang dibacakan kepada mereka. Kesalahan itu dilakukan antara
24 Mac hingga 29 Mac lepas.
Antara pertuduhan yang dikemukakan ialah
menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka ketika
tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya
dan menyamar polis mengikut Seksyen 170 kanun sama membawa hukuman
penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Mereka juga didakwa gagal mematuhi PKP
dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat
jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan
Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara
enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Seramai 15 lelaki didakwa di Mahkamah
Majistret di sini termasuk sembilan warga asing dan dua warga tempatan
yang ditahan ketika berjoging di Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara
di sini.
Warga asing itu terdiri daripada
warganegara Britain Jamie Bubb Sacklyn, 28; warganegara Korea Selatan
Woo Yum Sik, 54, Lee Jong Young, 50, dan Kwang Suk Lee, 51; warganegara
Jepun Koichi Itano, 60, Tanakatohishiko, 61, Mitsuhiru Takayanagi, 51,
dan Taichi Okubo, 36; dan warganegara India, B. Vikram, 48.
Dua lagi ialah warga Malaysia S. K.
Ramani, 56, dan Au Yong Vooi Loon, 31. Mereka masing-masing didenda
RM1,000 atau penjara empat minggu selepas mengaku bersalah atas
pertuduhan ingkar PKP.
Dua lelaki lain pula dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah menyamar polis dan melanggar PKP.
Penarik kereta, Muhammad Nur Saddiq Isham
Marzuki, 24 dan penganggur, Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah, 25,
dihukum penjara tujuh bulan bagi pertuduhan menyamar polis dan ketika
menyamar mereka telah menahan seorang lelaki serta penjara empat minggu
bagi kesalahan melanggar PKP. Hukuman itu berjalan berasingan.
Di Mahkamah Majistret Selayang, pemandu
lori P. R. Yugendran, 26, dihukum penjara sebulan kerana ‘melepak’
bersama rakannya dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan
munasabah di Jalan SJ 17, Gombak di sini pada 1.10 pagi, 28 Mac.
Penganggur, Noor Azman Ahmad Cibi, 45,
didenda RM800 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang,
kerana cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19 di
Ampang dan juga berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan.
Di Selangor, sejumlah 61 individu didakwa
di Mahkamah Sesyen Klang kerana melanggar PKP antaranya tanpa alasan
sah telah bergerak ke kawasan jangkitan, berada di bawah pokok dan
berkumpul beramai-ramai.
Tertuduh masing-masing didenda antara
RM800 hingga RM1,000 dan boleh dipenjarakan antara satu atau dua bulan
sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Semua tertuduh berumur lingkungan 18
hingga 50 tahun itu ditahan secara berasingan pada 25 hingga 28 Mac di
sekitar daerah ini antaranya di Meru, Kapar, Bukit Raja, Taman Sentosa
dan Bandar Sultan Sulaiman.
Di Johor, seramai 23 individu termasuk
tujuh remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Kota Tinggi, Johor,
terhadap pertuduhan mengingkari PKP.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda
RM1,000 atau penjara 15 hari terhadap 16 tertuduh manakala bagi kes
tujuh remaja, mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan bagi mendapat
laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.
Remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin
RM1,000 sementara menunggu dijatuhkan hukuman. Semua tertuduh, yang
berusia antara 15 tahun hingga 37 tahun itu, sebelum ini ditahan dalam
beberapa serbuan di sekitar daerah Kota Tinggi antara 26 Mac hingga 28
Mac.
Di Pahang, 19 individu termasuk dua warga
Bangladesh dan seorang wanita dihukum penjara dan denda selepas mengaku
bersalah melanggar PKP di Mahkamah Majistret Kuantan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara
antara dua hingga 14 hari dan denda sekitar RM200 dan RM400 atau sebulan
penjara, terhadap tertuduh berusia antara 19 hingga 47 tahun manakala
bagi tiga remaja berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan RM500
sementara sebutan kes pada 5 Mei bagi mendapatkan laporan sosial bagi
menjatuhkan hukuman.
Di Pulau Pinang, seramai 183 individu
termasuk 21 orang warga asing dihadapkan di tiga Mahkamah Majistret
berasingan di negeri ini kerana ingkar PKP.
Sejumlah 33 individu didakwa di Mahkamah
Majistret George Town, Butterworth (73 orang) dan Bukit Mertajam (77
orang) dan semua mereka berumur antara 15 hingga 66 tahun itu ditahan
dalam Ops COVID-19 yang dijalankan di seluruh negeri ini antara 24
hingga 29 Mac lepas.
Seramai 151 orang daripada jumlah itu
mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM1,000, dan juga penjara
serta Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kerana bergerak ke suatu kawasan
jangkitan.
Beberapa tertuduh juga menghadapi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Bagi tertuduh yang mengaku tidak
bersalah, Mahkamah Majistret George Town dan Bukit Mertajam
masing-masing menetapkan 12 Mei dan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Di Melaka, 17 individu termasuk tiga
warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana berada di
kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah. Semua tertuduh yang berumur
antara 18 dan 43 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan
masing-masing.
Lima tertuduh termasuk seorang warga
Nepal dihukum penjara antara sebulan hingga tiga bulan manakala 12
tertuduh termasuk dua warga Nigeria didenda dari RM800 hingga RM1,000
dan jika gagal bayar akan dipenjara antara satu bulan dan tiga bulan.
Di Negeri Sembilan, seramai 38 individu
berumur antara 16 hingga 57 didakwa di beberapa buah Mahkamah Majistret
di negeri ini kerana gagal mematuhi PKP dan menghalang tugas penjawat
awam.
Di Mahkamah Majistret Seremban, beberapa
lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan enda RM1,000 kerana berada
dalam satu kawasan jangkitan dan beberapa yang lain tidak mengaku
bersalah atas tuduhan itu.
Di Mahkamah Majistret Port Dickson
seorang kelindan lori berumur 19 tahun dan seorang remaja berusia 16
tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar arahan pihak
berkuasa dan berada di kawasan jangkitan.
Di Mahkamah Majistret Bahau, tiga lelaki
berumur 29 hingga 43 tahun dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah
atas pertuduhan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan
dan Kawalan Penyakit Berjangkit itu manakala dua lagi tertuduh berumur
33 dan 24 tahun dihukum penjara masing-masing tujuh hari dan denda RM500
atau 14 hari penjara atas kesalahan sama.
Di Mahkamah Majistret Kuala Pilah,
penghantar barang dihukum penjara 25 hari dan denda RM3,000 kerana
menghalang tugas penjawat awam.
Di Perlis, tujuh lelaki termasuk remaja
lelaki berumur 13 tahun masing-masing didenda RM1,000 atau penjara
sebulan kerana berada dalam kawasan jangkitan pada 27 dan 28 Mac di
sekitar daerah Arau iaitu Taman Cempaka, Kampung Seri Gelam Tambun
Tulang dan Kampung Teluk.
Empat penganggur berumur 21 dan 32 tahun pula mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan