Rabu, 3 Oktober 2018

Persembahan pentas: Terengganu asingkan lelaki - wanita

MALAYSIAKINI

   

Jabatan Pelancongan Terengganu akan menguatkuasakan garis panduan baru untuk penganjuran persembahan pentas dan muzik, lapor akhbar The Star.

Menurut laporan itu, exco negeri untuk pelancongan, kebudayaan dan teknologi maklumat dijangka memberi butiran lanjut pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco, hari ini.

Laporan itu menambah satu salinan garis panduan berkenaan yang menetapkan 11 peraturan untuk dipatuhi oleh penganjur telah diedarkan kepada pihak media.

Antara lain, garis panduan baru itu menetapkan acara persembahan pentas hanya boleh melibatkan penyanyi dan penari lelaki sahaja manakala persembahan penyanyi atau penari wanita hanya dibenarkan untuk tontonan wanita sahaja di tempat tertutup.

Ia juga melarang percampuran terlampau di antara lelaki dan wanita di atas pentas ketika persembahan. Walau bagaimanapun persembahan kanak-kanak di antara lelaki dan perempuan di atas pentas adalah dibenarkan.

Penganjur juga disyaratkan supaya memastikan para penonton lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak bercampur dengan bebas.

Mengikut risalah yang menghuraikan garis panduan itu, persembahan muzik hanya dibenarkan selepas solat Isyak dan tidak boleh melepasi jam 12 tengah malam.

Muzik atau hiburan yang dipersembahkan pula tidak boleh diiringi dengan "instrumen bunyian yang melampau” sehingga boleh mempengaruhi penonton / pendengar mengikut “rentak”.

Persembahan pada waktu siang hari pula perlu tidak bertindih dengan waktu solat.

Di samping itu, penganjur juga dilarang membuat persembahan pentas pada hari Khamis malam Jumaat sehingga selepas solat Jumaat hari berikutnya.


Tiada ulasan: