Rabu, 3 Oktober 2018

BERSIH cuba lepas tangan, Najib tuntut penjelasan SPR

MALAYSIAKINI

   

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung laporan polis yang didakwa dibuat hanya terhadapnya sebagai pihak yang melakukan kesalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Semalam, BERSIH berkata bukan mereka yang pilih kasih melaporkan saya kepada pihak polis kerana saya didakwa telah melakukan kesalahan memuatnaik satu hantaran di FaceBook pada pukul 7 pagi hari mengundi PRK Sg Kandis walaupun saya bukan calon pun.

“BERSIH menjelaskan bahawa pihak SPR yang membuat laporan polis terhadap saya walaupun BERSIH menghantar senarai kesalahan yang juga mengandungi kesalahan-kesalahan yang agak berat dari pihak PKR termasuk calon PKR sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, menurut Najib BERSIH cuba lepas tangan dan menuduh SPR sebagai pihak yang pilih kasih kerana hanya membuat laporan polis terhadap saya tetapi tidak terhadap PKR dan calonnya, di Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

"Saya ingin tahu apa penjelasan pihak SPR kerana sebagai pihak yang patut berlaku adil, tuduhan BERSIH terhadap mereka ini adalah amat serius," kata Najib.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, pihak polis berkata akan memanggil Najib untuk disoal siasat mengenai gesaan beliau di media sosial supaya pengundi memilih calon Umno pada hari pengundian.

Berdasarkan Seksyen 26 (1) (a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkempen pada hari mengundi merupakan suatu kesalahan pilihan raya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan BERSIH menafikan membuat laporan polis terhadap Najib dan berkata ia dibuat oleh SPR.

BERSIH menjelaskan telah memfailkan aduan kepada SPR mengenai semua kesalahan pilihan raya oleh kedua-dua Umno dan PKR.

Terdahulu, Najib mempersoalkan jika BERSIH hanya menyasarkan dirinya sahaja dan tidak membuat laporan polis yang sama terhadap PKR mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya dalam pilihan raya kecil itu.


Tiada ulasan: