Selasa, 2 Oktober 2018

Lucutkan keanggotaan atau tuntut ganti rugi Ahmad tidak muncul saat akhir, kata PRM Port Dickson

 
 Lucutkan keanggotaan atau tuntut ganti rugi Ahmad tidak muncul saat akhir, kata PRM Port Dickson

Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil (PRK)  Port Dickson Parti Rakyat Malaysia (PRM) mahu calon yang dikatakan mewakili parti itu, Ahmad Kamaruddin dilucutkan keanggotaan atau menuntut ganti rugi RM2juta kerana memungkiri perjanjian untuk bertanding sebagai calon PRK Port Dickson pada Sabtu lepas.

Setiausaha AJK  PRK Port Dickson Tan Kang Yap berkata, Ahmad gagal menyediakan wang deposit RM10,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di saat akhir adalah diluar jangkaan parti itu.

“Pada saat akhir, beliau menyatakan dana untuk deposit SPR tidak mencukupi.

“Kami berasa kesal dan malu yang amat sangat dengan apa yang berlaku di luar jangkaan kami. 
Kalau diberitahu awal, perkara ini boleh dielakkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dengan kejadian itu apabila Ahmad tidak muncul pada hari pencalonan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dakwanya, telah mengundang pelbagai prasangka dan persepsi negatif terhadap calon yang dicadangkan PRM.

“Beliau telah hilang kebolehpercayaannya dan kerjaya politiknya terjejas kelak.

“Di peringkat parti, satu soal siasat dibuat di mana saudara Ahmad dan ahli-ahli terlibat hadir memberikan penerangan pada keesokan harinya iaitu pada Ahad.

“Sebagai satu parti bermaruah dan tegas, AJK PKR PD terpaksa melaksanakan tindakan tataterbit dengan mencadangkan supaya melucut keanggotaan Ahmad.

“Selain daripada itu, kami memelihara hak-hak lain seperti termaktub dalam perjanjian termasuk menuntut ganti rugi sebanyak RM2 juta sekiranya memungkiri perjanjian dengan tidak bertanding.

“Keputusan dibuat telah diajukan kepada Jawatankuasa Pusat untuk tindakan seterusnya,” ujarnya.

Tan juga menyatakan pemohonan maaf kepada pengundi di Port Dickson dan ahli PRM di negeri Sembilan kerana kegagalan part itu mengemukakan calon di saat akhir,

“Dengan ini, kami mengambil kesempatan memohon maaf kepada sesiapa yang terlibat terutama anggota dan penyokong PRM di Port Dickson kerana perbuatan Ahmad Kamarudin yang tidak etika dan mengkhianati pengundi ini,” ujarnya.

Pada Khamis PRM mengumumkan calon Ahmad Kamaruddin untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Port Dickson 13 Oktober depan. Pengumuman calon PRM itu dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Pada Julai lalu Ahmad juga telah membatalkan hasratnya bertanding di PRK Sungai Kandis di saat akhir walaupun sudah diberikan watikah oleh parti. Beliau hadir di hari pencalonan semata-mata untuk memastikan PH akan bertembung satu lawan satu dengan BN jika BN menarik diri di saat akhir.

PRK Port Dickson akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Datuk Seri Anwar dengan Pas dan 5 calon bebas.

Tiada ulasan: