Isnin, 1 Oktober 2018

'Kita tak ada lampu Aladin'

 
   

Tidak semudah yang disangka - itu kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Anuar Tahir, ketika pertubuhan itu berdepan dengan kekecewaan sesetengah penyokongnya.

Kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, AMANAH diharap supaya tidak mengabaikan anggota dan penyokong parti itu, terutama di kalangan individu yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran kerana menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.

Bagi sesetengah kes, penyokong AMANAH berharap nasib mereka terbela melalui lantikan ke jawatan kerajaan.

Namun berdepan realiti Mohd Anuar berkata AMANAH tiada kuasa ajaib untuk bertindak segera membantu anggota atau penyokong mereka.

"Kita bukan ada lampu Aladin, gosok-gosok terus keluar jin dan buat," katanya.

Mohd Anuar sebelum itu ditanya berhubung kelewatan pelaksanaan lantikan politik dibuat selepas parti itu membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Menurutnya, soal pelantikan dan pengisian jawatan-jawatan politik sedang dilakukan dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP).

Tak boleh pecat saja-saja

"Tak mungkin ada sebuah kerajaan dalam dunia ini boleh tunaikan semua pelantikan hanya selepas beberapa bulan .

"Mustahil, saya tak tahu kalau ada kerajaan ajaib macam itu," katanya.

Beliau yang juga timbalan menteri kerja raya ditemui media selepas merasmikan kedai Bina Paint cawangan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, isu pelantikan jawatan politik khususnya di Kelantan timbul selepas ada pihak mempersoalkan sikap HARAPAN terhadap calon AMANAH, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Nik Omar ialah anak kepada bekas mursyidul am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Omar meninggalkan PAS untuk menjadi calon HARAPAN di kerusi dewan undangan negeri Kelantan pada 9 Mei lalu.




Tindakan itu mengundang pelbagai kecaman termasuk daripada anggota keluarga Nik Omar sendiri.

Ketika sesetengah orang berharap Nik Omar dilantik ke jawatan tertentu oleh HARAPAN, anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz itu masih kekal menguruskan Maahad Darul Anuar.

Mohd Anuar berkata kerajaan terikat dengan beberapa prosedur yang mesti dipatuhi dan tiada jalan pintas untuk mengatasi rasa tidak puas hati penyokong HARAPAN,

"Tidak semudah itu kita boleh melakukan sebarang pelantikan," jelasnya.

Sementara itu Anuar berkata, kerajaan tidak boleh menghentikan begitu saja seseorang yang dilantik oleh kerajaan terdahulu.

"Bukan di Kelantan sahaja, melibatkan seluruh negara.

"Kerajaan lama sudah lantik dan ada setengah itu tempoh perkhidmatan belum habis.

"Untuk melakukan pemecatan serta-merta seperti berhentikan 10,000 orang, kita tak boleh buat macam itu.

"Kena ada peraturan, kita kena ubah peraturan itu dulu, sahkan jawatan yang besar-besar di peringkat kampung pun belum selesai lagi," katanya.

Justeru, Mohd Anuar yang juga anggota parlimen Temerloh berharap semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi melaksanakan tugas mengikut peraturan yang ada.


"Kita sebagai sebuah kerajaan yang stabil dan adil kena ikut posedur.

"Bersabarlah dulu, kita dah bersabar 61 tahun kenapa tak boleh bersabar untuk beberapa bulan?" ujarnya.


Tiada ulasan: