Isnin, 1 Oktober 2018

Projek pembangunan bawah 15 peratus ditangguhkan

 
   

Kerajaan persekutuan menangguhkan sementara semua projek pembangunan yang belum atau berada di bawah 15 peratus pembinaannya termasuk di negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, penagguhan itu dibuat bagi memberi ruang untuk kerajaan mengkaji terlebih dahulu kelayakan projek berkenaan sama ada akan diteruskan atau dibatalkan.

"Semua projek atas kepentingan rakyat akan kita teruskan, tiada sebab untuk dihentikan cuma masalah 'timing' sahaja kerana proses ambil alih kerajaan baru dan membabitkan masalah kewangan.

"Ia bergantung kepada kewangan melainkan projek itu sudah berjalan elok dan melebihi 15 peratus, ia akan diteruskan.

"Ada projek yang dibuat separuh jalan, tidak buat langsung, sudah dapat bayaran pendahuluan tapi belum dimulakan lagi, itu semua kita kena kaji semula," katanya kepada media selepas merasmikan Cawangan Bina Paint Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Datuk Ir Razani Ab Lazid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bina Integrated Industries Sdn Bhd, Rosli Adam.

Mohd Anuar berkata, prosedur bagi meneruskan projek itu akan dibuat melalui tender terbuka dan dipilih oleh badan penilai yang terdiri daripada panel yang jujur.

Menurutnya, rakyat perlu bersabar dan berharap semoga pembentangan bajet pertama Pakatan Harapan pada November ini akan membuka peluang kepada lebih banyak projek untuk diteruskan.

"Kalau kena tangguh sekalipun bukan dalam masa yang lama, mana-mana yang penting kepada rakyat kita letak keutamaan," jelasnya.


Tiada ulasan: