Isnin, 13 Ogos 2018

Guan Eng jamin kereta nasional ke-3 guna dana swasta

 
Menteri kewangan berkata kereta nasional ke-3 tidak akan menggunakan dana kerajaan.


Lim Guan Eng. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng beri jaminan projek kereta nasional ke-3 akan menggunakan dana swasta sepenuhnya.

Beliau berkata perkara itu diberitahu sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

“Saya hendak berikan jaminan bila saya tanya perdana menteri, Dr Mahathir nyatakan sekiranya ada projek kereta ke-3, ia tidak akan gunakan dana awam.

“Ia datang dari pelaburan swasta. Jika ia datang dari pelaburan swasta maka saya rasa tidak ada masalah,” katanya di sesi penggulungan RUU Perbekalan Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan 2018.

Projek kereta nasional ke-3 mengundang bantahan daripada pelbagai pihak termasuk rakan sendiri, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang khuatir ia akan memberi kesan kewangan yang besar kepada negara.

Beliau mempersoalkan kos projek dan badan kerajaan yang akan membuat pelaburan.

Rafizi berkata demikian selepas Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan sedia melancarkan projek kereta nasional ke-3 menjelang 2020, seperti yang dibayangkan perdana menteri.

Dr Mahathir meninjau untuk membina kereta nasional ke-3 selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan, sebaik jawapan kepada tindakan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd membeli 49.9% saham dalam projek pertama itu.

Proton dibayangkan oleh Dr Mahathir dan diasaskan pada 1983. DRB-Hicom mengumumkan penjualan 49.9% saham Proton pada Mei 2017. Urus niaga itu juga membolehkan Geely memiliki 51% kepentingan dalam pembuat kereta British, Lotus.

Projek kereta nasional ke-2, Perodua, diasaskan pada 1992, mempunyai syarikat-syarikat Jepun sebagai pemegang sahamnya.

Tiada ulasan: