Ketua pemuda Umno itu berkata, kelainan pemilihan kali ini adalah Umno perlu menampilkan calon pilihan rakyat dan bukan merebut jawatan kerana parti itu kini bukan lagi dalam kerajaan.
"Kita gunakan pemilihan ini platform pertama jadikan Umno baru, budaya baru, semangat baru dan kekuatan baru.
"Percayalah walaupun perjalanan kita mungkin jauh, tidak pasti lima, 10, atau15 tahun, apa pun jangka masa kita untuk kembali ke tampuk pemerintahan kerajaan, saya akan bersama anda semua supaya kita kembali," kata Khairy ketika majlis berbuka puasa anjuran Pemuda Umno di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.
Khairy turut mengesahkan beliau telah menghantar pencalonan untuk bertanding merebut jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan kali ini.
"Kita ada satu peluang beri isyarat pertama Umno memahami pesanan rakyat. Umno bermula langkah membuat perubahan ke arah yang lebih baik dan kita pilih pemimpin yang diterima rakyat.
"Dengan kita amalkan kempen yang sihat, tidak lagi dilihat parti yang dibelenggu tuduhan politik wang, rakus jawatan dan persepsi parti pilih pemimpun ditolak rakyat dan tanggapan Umno parti tidak dapat pilih pemimpin berwawasan dan membawa kesegaran untuk rakyat," kata ahli Parlimen Rembau itu lagi.
Pemilihan Umno dijadualkan bermula 23 Jun depan untuk sayap parti dan pemilihan peringkat kebangsaan dijadualkan pada 30 Jun.
"Yang penting kita mesti bersatu. Kita menang pun bukan jawatan kita memerintah tapi bangkai politik yang perlu kita hidupkan semula.
"Hari ini kita bertanding dalam parti yang sudah kalah. Ini bukan pemilihan untuk jawatan tapi pejuang sebenar," kata Khairy lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan