Jumaat, 8 Disember 2017

PRU-14: Bapa segala pilihan raya, gempur habis-habisan - Najib

DETIK DAILY

 
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan menjadi penentu kepada nasib negara ini dan akan meletakkan UMNO di satu persimpangan pemutus.

Tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) dan PRU-14 bukan hanya demi UMNO dan Barisan Nasional tetapi misi yang lebih besar adalah menentukan masa depan umat serta negara secara keseluruhan.

Lima seruan penentu kemenangan PRU-14

Justeru beliau menggariskan lima seruan dan semboyan penentu kemenangan pada PRU-14.

Datuk Seri Najib berkata, paling penting ahli perlu menguatkan azam, menggantung tekad tinggi dan mara ke medan juang menuju kemenangan pada pilihanraya kelak.

"Pertama bergeraklah sebagai satu pasukan. Ertinya, kali ini, untuk mempastikan kemenangan besar, jangan teragak-agak lagi, kita mesti bergerak dalam saf yang padu, jemaah yang kukuh dan
ketumbukan yang jitu.

"Kata orang, tiada air orang tayamum, tayamum itu debu dan tanah, ketua memimpin ahlinya makmum, Barulah UMNO mendapat berkah," katanya pada ucapan dasar Presiden UMNO di sini hari ini.
 
Datuk Seri Najib turut mengingatkan sayap UMNO untuk bekerja keras pada PRU akan datang.

'Kepada semua Wanita UMNO, yang bukan lagi sekadar tulang belakang parti, bahkan, kini turut bergelar Ibu Terbaik Bangsa. Kepada Wanita UMNO khususnya, berbekalkan semangat wanita sebagai wirawati bangsa ini, turunlah padang dekatilah rakyat, seraya gempurlah kubu pihak lawan dan perang mesti menang.

"Kepada Pemuda UMNO pula, berpencaklah dengan berani, sebagai perwira harapan parti dan bangsa dan tawanlah hati pengundi baharu, berbekal semangat kejayaan sebagai Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29, junjunglah obor kecemerlangan itu, sehingga kita menang besar di Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

"Selanjutnya, kepada Puteri UMNO, sebagai sayap paling bongsu dan taat kepada parti, usahlah segan, gentar dan bimbang, gerakkanlah Skuad Puteri Peduli, demi menawan hati masyarakat, mengundi UMNO dan Barisan Nasional," jelasnya.

Dalam pada itu, kata Datuk Seri Najib, UMNO perlu bergerak dengan penuh keyakinan dan sentiasa yakin berada di landasan betul.

"Maknanya, kepada semua ahli UMNO dan Barisan Nasional, dengan  idealisme dan semangat setiakawan serta kekeluargaan yang tidak boleh terpisahkan lagi, bagai rambut tersimpul mati.

"Atas semangat itu, pahatkan wala’ yang sepenuhnya, ukirkan taat setia dan patuh kepada segala arahan pucuk pimpinan. Pabila sudah ada calon yang dikenal pasti, janganlah diboikot dan disabotaj, tapi tumpahkanlah taat setia serta sokongan yang tidak berbelah bagi.

"Bergeraklah, dengan winning mentality, tanpa rasa takut dan gentar, jangan ragu-ragu lagi bagi memenangi pilihanraya ini," katanya.

Tegasnya, UMNO perlu bertindak dengan pantas dan menyelesaikan cabaran yang dihadapi secara syura dan dalam semangat kekeluargaan.

"Justeru, sesekali jangan kita patah semangat dipukul badai perjuangan. Kalau sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkalnya.

"Berundinglah dalam semangat syura dengan penuh hemah dan berhikmah, kerana dalam syura itu Allah menjanjikan berkatnya," ujarnya.

Datuk Seri Najib turut mahu UMNO bertempur dan bertarung di alam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber.

"Sebabnya, perang sebenar di pilihanraya kali ini adalah peperangan di alam siber dan dunia digital.

"Kalau kita gagal menguasai dunia siber dan digital ini, maka apa yang kita usahakan selama ini, mungkin menjadi sia-sia.

"Saya pasti setiap orang mempunyai ‘alat’ seumpama ini. Oleh itu, gunakanlah ia sebaiknya.

"Jangan diharap hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja, kerana sesungguhnya, kita lebih tiga juta ahli UMNO atau lebih tujuh juta ahli Barisan Nasional, setiap seorang adalah pejuang siber yang sebenarnya," jelasnya.

Beliau juga meminta ahli UMNO bertarung dengan semangat juang dan tekad yang tinggi dan berserah selepas berbuat sehabis baik.

"Maka itu, kepada semua ahli dan jentera parti UMNO serta Barisan Nasional, misi kita adalah satu, haluan besar kita juga adalah satu, kekalkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti pilihan utama rakyat kerana UMNO pelaksana wasiat pusaka dan harapan sejati negara," katanya 
 
 

Tiada ulasan: