Jumaat, 8 Disember 2017

Menitis air mata wakil Kelab UMNO Luar Negara kenang nasib Baitulmaqdis

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Presiden Kelab UMNO Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 KE 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE
 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata mengenangkan nasib umat Islam di Jerusalem semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Ahmad Syazwan berkata dua tokoh pejuang Islam, Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi berjuang untuk membebaskan kota suci tersebut bagaimanapun tindakan Amerika Syarikat menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel dilihat satu cabaran kepada umat Islam seluruh dunia.

“Kami mengambil peluang ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang memindahkan kedutaan ke Jerusalem, secara tidak langsungnya ia mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu kota Israel

“Ini lah yang kita tak persetujui, ini lah yang akan membuat provokasi, ini lah yang membuat dunia tidak aman… pernah Saidina Umar membebaskan Jerusalem, pernah Salahuddin al-Ayubbi membebaskan Jerusalem (menangis),” kata Ahmad Syazwan yang tidak menahan sebab dan menangis dihadapan ratusan perwakilan lain.

Ahmad Syazwan kemudiaan menggesa supaya apa yang berlaku di Jerusalem sebagai tauladan dan berharap parti UMNO dipertahankan pada pilihan raya depan dan tidak berpecah belah sesama umat.

“Kami berada di akhir zaman ibu ayah, seandainya ibu dan ayah tidak menjaga parti ini, seandai ibu dan ayah berpecah belah, seandai ibu dan ayah tidak berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan parti ini dalam pilihan raya akan datang di manakah kami kalau Jerusalem pun kita tidak dapat pertahankan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: