Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Kedua-dua Pemuda Umno dan PAS hari ini bersatu dalam
menyatakan bantahan terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald
Trump yang mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, semalam.
Bantahan dibuat di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada jam 2.00
petang tadi dengan turut disertai lebih kurang 5,000 peserta termasuk
daripada 51 buah badan bukan kerajaan (NGO).
Pemuda Umno yang diwakili ketuanya, Khairy Jamaluddin menyifatkan
tindakan presiden Amerika Syarikat itu sememangnya telah mencetuskan
kemarahan terhadap dunia dan umat Islam.
Malah katanya, apa yang diisytiharkan oleh presiden negara berkuasa besar itu adalah satu pengisytiharan haram.
“Ini pengisytiharan haram! Pegang kata-kata saya lelaki berpengaruh
dalam dunia bebas sekalipun sepatutnya hormat undang-undang
antarabangsa.
“Trump bukan sahaja menyinggung perasaan orang muslim tetapi seluruh
dunia yang mahu melihat keadilan,” katanya kepada pemberita petang tadi.
Semalam Trump mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis yang juga penunjuk
kiblat pertama bagi umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengumumkan pelan bagi
memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke
Baitulmaqdis.
Bagaimanapun Trump menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut tidak akan
mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci tiga agama.
Sayap pemuda Dewan pemuda PAS, yang turut menyertai demonstrasi itu diketuai Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pada himpunan itu, Khairy mewakili pemuda Umno menyerahkan sendiri
memorandum kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat kira-kira pukul 2.30
petang.
Mengulas lanjut, Khairy ketika berucap kepada para peserta himpunan
tersebut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Trump itu tidak boleh
diterima sama sekali baik bagi pemuda Umno, PAS dan para wakil NGO.
Ujarnya, tindakan Trump itu sebagai satu permulaan kepada penentangan
dunia kerana ia hanya menguntungkan negara zionis itu sahaja.
"Hentikan segera penindasan terhadap Palestin. Ini bukan hanya
disebabkan Islam. Pemimpin agama Vatican City, Pope Francis sudah
menyatakan mewakili Katolik, negara-negara Eropah juga sudah menyatakan
ketegasan dengan jelas.
"Ketika menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS, saya telah nyatakan
pada mereka ini adalah tindakan keterlaluan dan tidak boleh diterima
langsung. Kita tidak akan berhenti sehingga mereka pulangkan kembali
tanah Palestin," katanya lagi.
Antara yang turut kelihatan ialah Timbalannya, Khairul Azwan Harin , dan Exco Pemuda, Dr Fathul Bari.
Terdahulu, para peserta himpunan berarak dari Kompleks Tabung Haji ke
Kedutaan Amerika Syarikat dengan mendapat kerjasama pihak berkuasa pihak
berkuasa polis.
Himpunan itu berakhir kira-kira jam 3.00 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan