Oleh Shuhaniza Said, Wan Anis Ilyani W M Azhar & Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Rata-rata perwakilan Umno hari ini menyokong penuh
keputusan parti yang meluluskan usul supaya jawatan presiden dan
timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Ketua Penerangan Umno Puchong, Datuk Mohamad Lokman Hamidi menyifatkan
ia satu keputusan yang tepat bagi mengelakkan 'perpecahan' berikutan
persaingan yang pastinya akan mewujudkan kumpulan penyokong pemimpin
tertentu, yang sekaligus boleh menjejaskan keutuhan Umno.
"Ini adalah petanda baik bahawa tak ada politiking, yang ditumpukan
ahli parti dari peringkat atas hingga ke jentera di bawah adalah
memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Jadi kurang politiking dalam parti akan membuatkan jentera parti
mempunyai banyak masa menumpukan untuk kemenangan akan datang," katanya
kepada Antarapos.
Sementara itu, Perwakilan Bahagian Alor Gajah, Mustafa Musa
menyifatkan gandingan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden bersama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Presiden, merupakan
gandingan serasi dan mantap untuk mengemudi parti mendepani PRU14.
"Ini gandingan mantap, serasi, dinamik dan gandingan yg cukup sinonim
untuk mengemudi Umno pada dekad akan datang. Ini penting untuk
mengekalkan perpaduan dan keharmonian parti dan kita tak punyai masa
lagi untuk pecah belah dan fikir soal pemilihan.
"Bila tak dipertandingkan, saya yakin ini kurangkan sedikit ketegangan
yang melanda umno terutama pada musim pemilihan," ujarnya.
Lebih fokus menang PRU14
Bagi Timbalan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Zulfitri Yaacob pula,
keputusan berkenaan amat tepat kerana parti pada masa kini lebih
memerlukan solidariti untuk mendepani PRU14, dan ia merupakan perkara
penting yang melangkaui soal pemilihan.
"Kita di peringkat bahagian termasuk cawangan dan keseluruhan akar
umbi, kita suka perpaduan di kalangan ahli umno. kita lihat keutuhan
bangsa Melayu pasti akan menjadi lebih kuat bila tiada pertandingan
peringkat jawatan tertinggi," katanya.
Dalam pada itu, AJK Pemuda Umno Segamat, Roeny Mat Zein, berkata keputusan berkenaan bukan bermakna Umno tidak demokratik.
Ini kerana katanya cadangan berkenaan diusulkan dan dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan.
"Pada saya ia tak dipertandingkan kerana perwakilan yang mahu,
pembangkang pula di sana tiada mesyuarat, buat keputusan sendiri," kata
beliau.
Terdahulu, Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) yang berlangsung hari
kedua pada hari ini menerima sebulat suara cadangan jawatan presiden
dan timbalan presiden untuk tidak dipertandingkan pada pemilihan akan
datang.
Cadangan berkenaan dibawa oleh Pemuda Umno Bahagian Rompin, Datuk
Mohamad Sahfri Ab Aziz pada semalam, ketika membahaskan ucapan dasar
presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan