Jumaat, 27 Oktober 2017

Cadangan Bajet Alternatif Pakatan Harapan, Realistik atau Angan-Angan?

Malaysian Access

Cadangan Bajet Alternatif Pakatan Harapan
Cadangan Bajet Alternatif Pakatan Harapan adalah tidak realistik dan berdasarkan perkiraan yang tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong.

Bajet itu, antara lain bercadang untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pelaksanaan gaji minimum RM1,500, memperkenal subsidi minyak dan pendidikan percuma untuk rakyat.

Menurutnya, dakwaan yang GST boleh dihapuskan dengan RM7 bilion daripada cukai penggunaan adalah tidak munasabah.

“Ini adalah dengan andaian apabila GST dihapuskan dan cukai jualan dan perkhidmatan dilaksanakan, harga barangan akan pasti jatuh.

“Bagaimanapun, harga barangan atau corak penggunaan bukan bergantung kepada GST, tetapi kepada prestasi ekonomi dan bagaimana inflasi memberi kesan ke atas harga barangan itu,” katanya kepada pemberita selepas Forum Perdagangan Industri Besi dan Keluli Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Chua berkata, Pakatan Harapan kelihatan tidak yakin dengan cadangan itu kerana terdapat kenyataan pada bajet berkenaan yang berbunyi: “Jika kita tidak dapat mencapai bajet seimbang, kita perlu menimbang asas-asas cukai yang lain.’’

Mengenai subsidi petrol, Chua berkata, walaupun ia nampak seperti elemen yang baik, parti itu gagal menyediakan kos bagi melaksana mekanisme berkenaan.

“Kami dalam kerajaan telah melaksanakan gaji minimum dan berharap untuk menaikkannya secara beransur-ansur bagi memastikan pasaran, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menyerapnya.

“Jika anda menaikkannya daripada RM1,000 kepada RM1,500, iaitu 50 peratus lebih tinggi, ia akan menyebabkan banyak PKS ditutup dan mewujudkan lebih banyak pengangguran,” katanya.

Mengenai pendidikan, Chua berkata, pakatan itu sebelum ini mahu menyediakan pendidikan percuma.

“Bagaimanapun, dalam bajet terbaru, ia berkata elemen itu perlu dikaji dan ia akan mengambil masa 10 tahun untuk selesai,” katanya.

Mengenai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang tidak perlu membayar balik pinjaman mereka sehingga gaji mereka melebihi kuantum tertertu, Chua berkata, ini bermakna kerajaan perlu menyediakan lebih banyak dana baharu untuk kumpulan pelajar baharu.

“Kos untuk langkah itu juga tidak disebut dalam Bajet Alternatif,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: