SERI MANJUNG: Pembentukan barisan kepemimpinan baru pakatan pembangkang
bakal mencetuskan perebutan kuasa yang akan mencelarukan keputusan
gabungan berkenaan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd
Kadir.
Memetik laporan Berita Harian Zambry berkata usaha pembentukan pakatan
berkenaan tidak dapat dizahirkan secara jelas terutama mengenai kuasa
pemutus khususnya antara tiga pemimpin tertinggi serta pemimpin lain.
"Ada tiga struktur di atas, ada ketua umum, pengerusi dan presiden
manakala ada lagi tiga struktur timbalan di bawah...boleh bayangkan
dalam keadaan struktur teratas bagaimana dia membentuk keputusan.
"Kalau PAS ada institusi presiden dan Majlis Syura dan ia
mendefinasikannya daripada segi barisan, tetapi kalau yang ini siapa
yang nak definasikan kuasa siapa yang lebih?" katanya pada Majlis Jamuan
Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak Merangkap ADUN Pangkor di
Dewan EMV, di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu turut menganggap tujuh
tindakan yang mahu dilaksanakan pakatan pembangkang kepada rakyat jika
memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai 'carca marba' dan
hanya 'auta' bagi meraih undi.
Katanya, jika pakatan itu memperoleh mandat rakyat pada PRU-14, semua
janji berkenaan hanya akan tinggal janji kosong dan kemudian mereka akan
menabur alasan kerana ia mustahil untuk dilakukan.
Beliau berkata, sebaliknya matlamat asal pakatan berkenaan hanya
semata-mata untuk menjatuhkan dan menjadikan seseorang sebagai perdana
menteri tanpa melihat konteks yang lebih besar iaitu negara.
"Dari segi matlamat asas, PKR umpamanya untuk memastikan seseorang
dapat keluar (penjara) atau dijadikan perdana menteri, bukan dalam
konteks luar iaitu membentuk sebuah negara...samalah dengan keadaan
ini.
"Kemudian diberikan janji kalau mereka membentuk kerajaan dia janji
dululah apa yang penting kepada rakyat, contoh kawal harga
minyak...macam mana hendak kawal harga, harga minyak bukan ditentukan
Malaysia tetapi pasaran antarabangsa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan