Ketua Pembangkang juga bakal mengemukakan surat permohonan terhadap Speaker
KUALA LUMPUR : Pengamal media yang hari ini menyerahkan petisyen kepada Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia bagi memohon agar larangan membuat liputan di kawasan lobi bangunan Parlimen ditarik semula.
Petisyen itu ditandatangani oleh 69 wartawan, jurugambar dan juruvideo dari pelbagai agensi berita.
Antara kandungan petisyen tersebut juga meminta penjelasan daripada Pandikar berkenaan dakwaan kebimbangan terhadap aspek keselamatan ekoran keberadaan pengamal media di kawasan itu.
Petisyen tersebut diterima oleh pegawai khas Pandikar, Lee Chun Boon pada 3:30 petang.
Dalam pada itu Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengemukakan surat kepada Pandikar Amin Mulia untuk membangkitkan permohonan yang sama.
“Kami (Pembangkang) mohon agar Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menimbang keputusan larangan terhadap wartawan.
“Kedua kami mohon buat konsultasi antara pihak media dengan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.
Pandikar sebelum ini membuat arahan agar semua wartawan dan media dilarang untuk berada di lobi Dewan Rakyat bagi mendapatkan reaksi daripada mana-mana Ahli Parlimen mahupun Menteri.
Tindakan itu diambil selepas beliau mengambil kira aduan diterima daripada ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu mereka untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan