Selasa, 21 Mac 2017

Jalankan tanggungjawab anda, daftarlah sebagai pengundi sebelum 31 Mac ini



Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, masih terdapat lebih 4.2 juta rakyat Malaysia yang layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Malah, di Perak sahaja, didapati lebih kurang 500,000 individu masih belum mendaftar.

Sedangkan, hanya mereka yang berdaftar sebelum 31 Mac ini akan dibenarkan untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika ia diadakan pada September tahun ini.

Pengarah Biro Hal Ehwal Wanita DAP Perak, V. Shasha berkata setiap rakyat Malaysia tidak harus memandang remeh hak mereka sebagai pengundi kerana ia mampu menentukan masa depan negara.

Melalui proses mengundi, jelasnya, rakyat berhak menyatakan persetujuan atau rasa tidak puas hati kepada kerajaan sedia ada.

“Rakyat mempunyai hak untuk memilih parti yang dirasakan berkaliber untuk mentadbir negara dengan kredibiliti, telus dan amanah,” ujarnya.

Menurut Shasha lagi, proses pendaftaran kali ini mendapat sambutan baik dalam kalangan anak muda – mungkin kerana mahu mengubah nasib mereka yang kini sarat dihimpit beban ekonomi.


Bagaimanapun, perubahan akan memberi impak lebih besar jika semua individu yang layak keluar mengundi.

“Dengan ini, sekali lagi saya menyeru kepada semua yang berkelayakan agar mendaftar sebagai pengundi sebelum 31 Mac ini.


“Inilah cara terbaik untuk kita semua menunaikan tanggungjawab dalam PRU14,” katanya.

Kepada yang sudah mendaftar, sila semak status tempat mengundi di laman web www.daftarj.spr.gov.my bagi memastikan tiada sebarang masalah atau keraguan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: