Sekatan itu sama seperti sekatan rakyat Malaysia yang disenarai hitam oleh PTPTN dan LHDN
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor akan memastikan tiada pegawai Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini menerusi pintu di sempadan Johor-Singapura.
Pengarahnya, Datuk Rohaizi Bahari berkata langkah itu akan dilaksana sehingga ada keputusan sebaliknya dari kerajaan.
“Pemeriksaan imigresen seperti biasa cuma pelaksanaannya sama seperti kes rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan ke luar negara jika mereka disenarai hitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hari ini Malaysia mengeluarkan arahan melarang pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini, berkuatkuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata arahan itu adalah sebagai tindak balas terhadap Korea Utara yang menyekat pegawai Kedutaan Malaysia di sana dari meninggalkan negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan