Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew
Fook mengakui pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina tidak
perlu takut hudud, sebagaimana video yang kini tular di internet.
Namun Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tidak bermaksud DAP menyokong
hudud, sebaliknya pada ketika itu ia hanya bagi meyakinkan masyarakat
dan mendapat sokongan Cina untuk Pakatan Rakyat (PR).
"Pada ketika itu memang saya ada cakap begitu bahawa masyarakat Cina
tidak perlu takut (hudud) kerana itu bukan agenda PR pada ketika itu dan
sebab pada ketika itu MCA cuba menakutkan orang Cina melalui isu hudud
itu.
"Saya hanya perjelaskan pada ketika itu bahawa ia bukan agenda kita dan
tidak perlu ditakuti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik
sidang media sebentar tadi.
Malah Loke menyifatkan penularan video yang dirakam sebelum PRU13 itu
sebahagian agenda MCA untuk mengalihkan sokongan pengundi Cina.
"Ini cubaan daripada MCA untuk mengatakan bahawa kita menyokong hudud itu agendanya, tetapi kita sudah jelaskan.
"Tidak apalah, itu hanya mainan politik sahaja," katanya lagi, ketika
ditanya sama ada mahu mengambil tindakan susulan terhadap penularan
video berkenaan.
Video berkenaan yang memaparkan Loke mengatakan bahawa orang Cina tidak
perlu takut dengan hukuman hudud ketika satu ceramah pada 2013, kini
tular di internet.
Ekoran penularan video itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM),
Datuk Huan Cheng Guan mendakwa DAP cuba mengelirukan rakyat apabila
membuat pusingan U dengan menentang pindaan Akta 355 (RUU 355) yang
diperjuangkan bekas rakan sekutunya, PAS.
Ujar Huan, DAP kini dilihat menghasut masyarakat Cina membantah pindaan
RUU 355, yang mana ia bertentangan dengan pendirian parti itu ketika
masih bekerjasama dengan PAS, sewaktu PRU13 lalu.
Hubungan DAP dan PAS yang pernah terjalin menerusi PR putus selepas
gabungan itu diisytihar terkubur pada Julai 2015, ekoran perbalahan
berterusan antara kedua-dua parti itu mengenai beberapa perkara termasuk
hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan