PKR menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa cuba membeli undi.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pihaknya akan berbincang dengan peguam sebelum memutuskan sebarang tindakan berhubung dakwaan itu.
Zahid (gambar) semalam mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kuching sehari sebelum proses undi awal (hari ini).
"Pada saya kita lihat kenyataan begitu terbuka untuk membeli undi adalah satu yang amat menjejaskan keyakinan dalam proses pilihanraya.
"Kita menentang pembelian undi tetapi ia dilakukan berterusan oleh menteri dan timbalan perdana menteri yang sama tanpa tindakan susulan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.
Sementara itu, seorang lagi naib presiden PKR Tian Chua (gambar) menjelaskan, sebarang bentuk pemberian atau janji yang mendorong mendapatkan undi adalah pelanggaran undang-undang pilihan raya.
"SPR perlu menunjukkan integriti dengan mengambil tindakan tanpa rasa gentar serta mengemukakan amaran kepada menteri.
"Mereka tidak boleh 'pejam mata' terhadap semua laporan itu.
"Jika mereka tidak membaca Malaysiakini, mereka sepatutnya membaca semua laporan akbar arus perdana yang mengikuti perkembangan itu," katanya.
Langkah sama turut ditegur gabungan proreformasi sistem pilihan raya BERSIH hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan