Roketkini.com
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengumumkan hasil siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sejak beliau mula menyewa rumahnya di Jalan Pinhorn di sini pada 2009 sehingga membelinya pada tahun lalu.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai, dalam suratnya kepada SPRM melalui cawangan agensi itu di sini, menyatakan Guan Eng ingin tahu hasil siasatan SPRM yang begitu lama dijalankan.
Katanya, SPRM boleh mengumumkan hasil siasatan itu secara rasmi melalui surat atau melalui pengumuman di media massa.
Beliau menyatakan Ketua Menteri akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM supaya dapat membuktikan segala tuduhan pembelian rumah itu dengan harga RM2.8 juta mempunyai unsur rasuah ke atasnya adalah fitnah dan tidak berasas.
“Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan yang dijalankan agar dapat membuktikan bahawa beliau menjalankan pentadbiran bersih sehingga kerajaan negeri Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International,” katanya dalam kandungan surat tersebut.
Hon Wai menegaskan, isu penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis dijalankan secara tender terbuka dan tuduhan tidak berasas ini hanyalah satu serangan peribadi terhadap Ketua Menteri.
“Isu penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijalankan secara tender terbuka bukanlah isu baru, dan pernah dicanang-canangkan oleh parti lawan sebelum dan semasa pilihanraya umum 2013,” jelasnya.
Beliau juga meminta SPRM menghubungi Guan Eng minggu depan bagi diambil keterangan atau sebarang keperluan penyiasatan kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan mengadakan lawatan kerjanya ke China minggu ini. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan