Selasa, 15 Mac 2016

Seleweng dana: Terpulang pihak berkuasa buat siasatan

SINAR HARIAN


Dr S Subramaniam
S Subramaniam. - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewangan dana kebajikan pesakit kronik dan miskin.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ada memaklumkan kepadanya hari ini berhubung laporan penahanan beberapa individu berkaitan penyelewangan lebih RM20 juta dana kebajikan merawat pesakit kronik dan miskin.  

"Kementerian ada kawalan-kawalan tertentu bagaimana dana yang dikumpulkan melalui tabung khas digunakan.

"Tetapi, kalau ada pihak-pihak yang telah diberi amanah ini dan sudah salah guna, terpulang kepada agensi tertentu untuk membuat siasatan," katanya mengulas laporan penahanan empat individu termasuk seorang wanita bergelar Datuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat dalam penyelewangan dana kebajikan berkenaan.  

Dr Subramaniam berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan buku-buku Kesusasteraan Tamil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada wakil-wakil sekolah di sini, hari ini.  

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata, keputusan ujian ke atas sajian yang didakwa mengandungi serpihan kaca yang dimakan tujuh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor akan diketahui minggu depan.   

"Kesemua pelajar telah pun dibenarkan pulang ke rumah. Pihak kami bersama Kementerian Pendidikan masih menyiasat punca kaca boleh berada dalam makanan," katanya.  

Terdahulu, Dr Subramaniam, yang merupakan Presiden MIC, menyerahkan 10,500 buku Kesusasteraan Tamil SPM berupa novel, sajak dan drama secara percuma kepada wakil-wakil sekolah negeri di seluruh negara.

Katanya buku-buku itu, yang diluluskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, tidak dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan sejak 2006 sebaliknya ia merupakan sumbangan komuniti pakar sastera Tamil.

"Buku-buku ini memakan kos RM200,000 dan ditanggung sepenuhnya oleh saya. Pengedaran buku-buku diberikan secara percuma kepada kira-kira 2,300 pelajar SPM setiap tahun," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: