Ahad, 6 Mac 2016

Putrajaya ambil langkah khusus berjimat cermat

MALAYSIAKINI




Putrajaya telah mengambil langkah-langkah khusus untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh perbendaharaan ekoran hasil negara merosot kerana kejatuhan harga minyak.

"Perkembangan semasa ekonomi serantau dan global memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan persekutuan berikutan kutipan hasil kerajaan yang terjejas.

"Bagi memastikan sasaran fiskal yang ditetapkan dapat dicapai, maka langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh agar sumber dapat diurus dengan lebih cekap dan berkesan," demikian menurut pekeliling itu yang berkuatkuasa pada 1 Mac.

Antara langkahnya termasuk memansuhkan jawatan kosong yang tidak diisi melebihi dua tahun.

Manakala perbelanjaan bagi kerja lebih masa dikawal dan arahan kerja hendaklah dikeluarkan secara bertulis sebelum ia dimulakan.

Pekeliling itu juga melarang jawatan baru diwujudkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.

Bagaimanapun, ia membenarkan pewujudan jawatan yang kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara tetapi perlu dilaksanakan dengan kawalan ketat.

Malah, Putrajaya menawarkan insentif kepada jabatan kerajaan yang berjaya melaksanakan langkah-langkah tersebut bagi meningkat penjimatan hasil atau simpanan kerajaan.

"Kementerian, jabatan, agensi yang berjaya meningkatkan hasil kerajaan atau mengurangkan kos operasi dengan signifikan akan dipertimbangkan insentif yang bersesuaian melalui bajet tahunan," tambahnya.
Langkah-langkah lain termasuk:

- Potongan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri.

- Perjalanan domestik hendaklah dihadkan kepada yang benar-benar perlu sahaja dengan bilangan pegawai yang minimum.

- Perbelanjaan bertugas di luar negara hanya dibenarkan jika telah diluluskan dalam bajet atau telah diluluskan oleh jemaah menteri.

- Pegawai Pengawal digalakkan untuk mewakilkan kehadiran ke mesyuarat atau persidangan tertentu kepada Duta/Ketua Perwakilan Malaysia di negara berkenaan atau negara yang berhampiran, tanpa penyertaan pegawai dari Malaysia.

- Bilangan pegawai yang mengiring menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha, ketua jabatan yang dibenarkan adalah seorang sahaja pegawai bagi negara yang mempunyai pejabat perwakilan Malaysia; dan tidak melebihi dua orang bagi negara yang tidak mempunyai pejabat perwakilan Malaysia.

- Kekerapan perjalanan maksimum atas tugas rasmi ke luar negara yang dibenarkan dalam tempoh setahun adalah tiga kali bagi ketua setiausaha/ketua jabatan/ketua agensi dan dua kali bagi lain-lain pegawai.

- Kursus dan latihan di luar negara adalah tidak dibenarkan kecuali keperluan kursus yang bersifat teknikal dan tiada kepakaran di dalam negara atau ditanggung oleh pihak lain seperti kerajaan asing

- Penerbangan: Kelas ekonomi bagi yang tidak melebihi lima jam dan kelas perniagaan untuk penerbangan lebih daripada lima jam.

- Jabatan kerajaan mesti mengurangkan perbelanjaan utiliti seperti telekomunikasi, elektrik dan air.

- Sewaan, pengubahsuaian pejabat baru dan tambahan tidak dibenarkan kecuali melibatkan kos yang lebih rendah daripada penyewaan sedia ada.

- Penganjuran acara kerajaan hendaklah dihadkan. dan sekiranya perlu diadakan, hendaklah secara sederhana.

- Pemberian cenderamata tidak dibenarkan tetapi sekiranya perlu, hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi.

- Penganjuran karnival, ekspo dan pameran di luar negara hendaklah ditangguhkan kecuali yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

- Penajaan dan pengiklanan di media hendaklah dikurangkan.

- Projek-projek yang mempunyai komponen import yang tinggi hendaklah ditangguh atau dijadual semula.

- Pemberian geran kerajaan kepada industri perlu diperhalusi.



Tiada ulasan: